Berita

Sarawak: Lagi pemimpin DAP dihalang masuk Sarawak, BN makin kuku besi

KUCHING, 24 ARRIL: Tiada lagi demokrasi, yang tinggal hanya ketakutan Barisan Nasional Sarawak untuk menghadapi kemaraan pihak pembangkang.

Kali ini, EXCO Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo, pula menerima ‘hukuman’ dilarang masuk ke negeri berkenaan.

Mengakui kesal dan kecewa dengan tindakan yang diambil pihak berkuasa negeri, beliau yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching pada jam 9 pagi tadi telah diarah pulang tanpa sebab dan alasan yang kukuh oleh pihak imigresen.

Alasan yang diberikan seorang pegawai imigresen pula, menurut Jagdeep yang juga Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, hanyalah sekadar mengikut arahan yang diberikan pihak berkuasa negeri tanpa didasari sebarang peruntukan undang-undang yang jelas.

“Apabila saya tanya beliau atas peruntukan undang-undang manakah beliau bertindak, beliau tidak dapat membekalkan saya dengan jawapan dan cuma mengulangi sahaja bahawa beliau hanya melaksanakan arahan pihak berkuasa negeri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wakil-wakil kerajaan Pulau Pinang yang lain yang telah dilarang masuk ke Sarawak ialah EXCO Kerajaan Pulau Pinang, iaitu Dr. Afif Bahardin dan Abdul Malik Kassim. Kedua-duanya daripada PKR.

“Sarawak adalah sebahagian negara Malaysia, dan sebagai warganegara Malaysia, saya mempunyai hak di sisi undang-undang dan perlembagaan untuk masuk Sarawak,” tambah Jagdeep yang juga Adun Datuk Keramat.

Malah, katanya lagi, tindakan itu juga menunjukkan bahawa Pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem takut dengan sistem demokrasi yang bersih dan adil dalam menghadapi tentangan pihak pembangkang di dalam pilihanraya negeri Sarawak Ke-11 pada 7 Mei nanti.

“Justeru, rakyat Sarawak adalah diseru untuk bangkit dan UBAH, dan kepada semua rakan seperjuangan saya, teruskanlah kempen untuk UBAH Negeri Sarawak,” ujarnya. – Roketkini.com