Berita

Calon N2 Tasik Biru tidak gentar lawan ‘orang kaya’, ketengah derita rakyat

BAU, 26 APRIL: Calon DAP N2 Tasik Biru, Mordi Bimol, 31, berazam untuk terus memikul tanggungjawab membela nasib penduduk yang selama ini terpinggir di kawasan ini walaupun mereka sebelum ini dijanjikan pembangunan oleh Barisan Nasional.

Graduan jurusan sains akuatik dan pengurusan dari Universiti Malaysia Sarawak itu mengakui bakal berdepan pertarungan sengit pada pilihanraya negeri Sarawak, 7 Mei nanti.

“Ia merupakan perjuangan yang berat untuk saya dan DAP. Lawan saya di Tasik Biru, calon BN Datuk Henry Harry Jinep adalah seorang ahli perniagaan yang sangat mewah dan berpengaruh.

“Satu-satunya cara untuk saya mengalahkan Jinep adalah dengan menyatukan suara daripada beribu-ribu pengundi biasa yang amat dahagakan perubahan di sini,” kata pemuda berketurunan Dayak-Melanau tersebut.

Mordi sangat aktif melibatkan diri dalam pelbagai kerja kemasyarakatan di situ, termasuk terlibat secara langsung dengan Impian Sarawak dalam beberapa projek seperti membina rumah, menyediakan kemudahan asas, Kem Membaca dan kesihatan.

Justeru, dengan memilihnya sebagai wakil rakyat N2 Tasik Biru, lebih banyak perubahan dan suara masyarakat terpinggir akan diperjuangkan dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak.

“Saya telah melancarkan manifesto yang memberi fokus kepada tiga perkara, iaitu:

  • Meningkatkan kemudahan awam secara substantif;
  • Memulihkan ekonomi tempatan; dan
  • Memperjuangkan hak tanah, budaya dan agama untuk semua.

“Sebelum ini, apabila saya tewas semasa bertanding di Mas Gading bagi kerusi Parlimen pada Pilihanraya Umum ke-13 lalu, ramai menyangka saya akan patah semangat dan tidak lagi aktif berpolitik.

“Namun, ia sebenarnya membangkitkan semangat saya untuk bekerja dengan lebih kuat di peringkat akar umbi – bergerak dari satu kampung ke kampung, bermesyuarat dengan penduduk Tasik Biru serta berkongsi air mata, ketawa dan penat lelah bersama mereka,” katanya.

Beliau menegaskan, DAP mempunyai pasukan yang kuat dan reputasi baik untuk memberi khidmat dan bantuan kepada golongan memerlukan.

“Kita memerlukan wakil politik yang benar-benar mengambil berat terhadap kesejahteraan penduduk. Kita mahu seseorang yang boleh menyuarakan masalah rakyat dan berjuang untuk dasar-dasar yang betul.

“Paling penting, kita memerlukan seorang pemimpin yang bersih dan berintegriti. Saya yakin bahawa saya mampu menjadi wakil terbaik bagi penduduk Tasik Biru,” katanya.

N2 Tasik Biru memiliki pengundi berdaftar berjumlah 17,041 pemilih dengan pecahan suku kaum Bidayuh (65.3%), Cina (26.2%), Melayu dan Melanau (5.9%), Iban (2%) dan lain-lain. (0.6%)

Dalam pilihanraya negeri Sarawak 2011, BN yang diwakili Datuk Peter Nansian Ngusie dari Parti Demokratik Progresif Sarawak hanya memperoleh majoriti sebanyak 2,072 undi mendahului pesaingnya. – Roketkini.com