Berita

Calon termuda DAP Aziz kembali ke N13 Batu Kitang

KUCHING, 25 APRIL: Calon termuda DAP, Abdul Aziz Isa, 26, yang sebelum ini disebut-sebut bakal bertembung dengan datuk saudaranya di kerusi N17 Stakan kini kembali ke sasaran asalnya di N13 Batu Kitang.

Perubahan saat akhir ini berlaku setelah pucuk pimpinan PKR mungkir janji, dan kini meletakkan calonnya di enam kerusi yang sudah diamanahkan untuk DAP.

Reaksi DAP Sarawak – yang sebelum ini sudi membenarkan PKR bertanding di Batu Kitang walaupun DAP telah menumpukan usaha di kawasan itu – adalah dengan meletakkan Aziz di Batu Kitang.

Aziz (baju putih, kanan) dan ayahnya, Marindo (kiri) semasa penamaan calon pagi tadi.

Aziz (baju putih, kanan) dan ayahnya, Marindo (kiri) semasa penamaan calon pagi tadi.

Kini kawasan itu akan menyaksikan pertarungan sengit lima penjuru antara Aziz dengan  Lo Khere Chiang (BN), Voon Shiak Ni (PKR), Othman Bojeng (Bebas) dan Sulaiman Kadir (Bebas).

Aziz dalam pengumuman Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen sebelum ini, akur dengan keputusan parti yang meletakkannya di kerusi N17 Stakan meskipun telah lama berkhidmat di Batu Kitang.

Sehubungan keputusan 21 April itu, graduan Sarjana Muda Politik dan Pemerintahan Universiti Malaysia Sarawak berkata pertukaran kawasan bukanlah penyebab untuk beliau berputus asa, malah menganggapnya sebagai cabaran yang perlu dihadapi dengan positif dalam dunia politik.

“Orang muda, khususnya dalam Pakatan Harapan, perlu mempunyai keberanian untuk berhadapan dengan apa juga cabaran,” ujar calon berpotensi DAP yang berusia 26 tahun itu.

N13 Batu Kitang merupakan salah satu antara 11 kawasan baharu dalam Dewan Undangan Negeri Sarawak. Ia memiliki 17,494 pengundi berdaftar dengan pecahan 20.1 peratus pengundi Melanau dan Melayu, 54.8 peratus kaum Cina, 5.8 peratus Iban, 5.8 peratus Bidayuh, 0.4 peratus Orang Ulu dan lain-lain sebanyak 4.4 peratus. -Roketkini.com