Rencana

Merangka politik pasca pilihanraya Sarawak 2016

Begitulah adat pertandingan. Bila menang maka segala jampi-serapah dikatakan serba menjadi. Namun,bila gagal, sekecil-kecil perkara diperhalusi sebagai punca kekalahan. Maka bermuhasabahlah semuanya.

Anehnya idea insaf-menginsafi dan muhasabah ini hanya timbul selepas kalah sahaja. Walhal ketika pertindihan kerusi yang dilihat jelas akan berlaku, tidak pula kita dengar mahu muhasabah diri dan insaf-menginsafi diri seperti yang kita dengar sehari-dua ini.

Persetankan segala kajian atau dakwa-dakwi usaha-kerja yang telah dilakukan bertahun kononnya; jika undi pilihanraya ditentukan oleh persepsi sahaja, kita telah kalah pada hari penamaan calon lagi. Tetapi, siapa yang mahu mendengar suara hati rakyat di bawah ini. Semuanya kelihatan demi kuasa semata-mata. Bukan demi rakyat atau untuk perubahan.

Ya. Itulah yang mungkin telah dihakimi oleh rakyat Sarawak. Mana mungkin kamu berupaya memimpin kami, sedang kamu gagal memimpin diri kamu sendiri.

Lepas kalah, PAS dipanggil balik?

Lihat sahaja saranan Datuk Menteri Besar Selangor yang mencadangkan agar PAS kembali ke pangkuan gabungan pembangkang dalam Pakatan Harapan (PH). Idea ini biarpun dilihat wajar dan berjiwa besar, ia agak klise untuk keluar dari mulut ahli politik. Ia bagai berputus asa pada gabungan PH.

Ramai percaya idea menjemput PAS ini bukanlah muncul tiba-tiba dari langit. Ianya pasti datang nescaya selepas KeAdilan dan DAP mengalami kekalahan dan kemerosotan undi dalam PRN Sarawak. Biarpun ada yang menafikan, faktor pertindihan kerusi ini tetap menjadi tanda aras muafakat PH kini teruji.

Biarpun PH akan kalah juga jika kita berjaya bertolak-ansur untuk satu-lawan-satu dengan BN, sekurang-kurangnya BN boleh dipersalahkan dan menjadi satu-satunya punca kekalahan PH. Malah, pertembungan Amanah dan PAS yang langsung tidak menguntungkan sesiapa turut menyumbang kepada saranan MB Selangor itu.

Yang nampak nyata idea berdeklarasi dengan bekas memanda Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad lewat beberapa bulan lepas cuba dijadikan idea terunggul membawa semuanya bermuhasabah dan menginsafi diri selepas PH mengalami kekalahan ujian pertama.

Deklarasi Rakyat sebagai platform

Maka sekonyong-konyong yang menjadikan Deklarasi Rakyat sebagai platform mengumpul semua kekuatan pembangkang, NGO dan individu-individu terhormat kini cuba menghambat semua untuk duduk semula di bawah satu bumbung bagi mendepani gergasi BN yang baru mendapat talian hayat terbaharunya.

Lalu, idea menjemput PAS tidak terkecuali terheret kesan daripada formula Deklarasi Rakyat ini. Gagal atau berjayanya deklarasi ini bukan soal utama dan pertama, tetapi formula ini telah cuba dipaksakan ke atas semua oposisi, kesan daripada PRN Sarawak yang lepas.

Namun langkah ini sebenarnya adalah langkah ke belakang. Selepas deklarasi yang tidak sepenuhnya dipersetujui rakyat, malah diragui pula sebahagian oposisi, cadangan membawa PAS ke dalam PH juga tidak terkecuali cuba mengambil pendekatan serupa. PAS boleh diperalat untuk mendepani BN sebagai lawan satu sama satu.

Namun, mempelawa PAS yang sebelumnya mentah-mentah menolak untuk menyertai PH dan membuang DAP menerusi muktamarnya bukanlah tanda tindakan dan saranan jiwa besar. Ia lebih bersifat berkepentingan peribadi dan boleh dilihat kepentingan parti yang diwakilinya. Dan harus diberi peringatan juga, kewujudan parti Amanah adalah sebahagian daripada kurang bijaknya tindakan PAS sebelum ini.

Pemimpin PH harus mengambil iktibar dari tindakan PAS ini dan perlu menghargai Amanah yang kini menjadi sekutu dalam Pakatan Harapan. Bagi DAP yang diceraikan begitu rupa, DAP lebih awal mengambil pengajaran dari pengalaman ini.

Pakatan Harapan + PAS?

Jika galak benar kita mahu pastikan satu lawan satu berdepan BN, PAS boleh disepakati dalam perbincangan sebagai contoh, PH campur PAS (PH+PAS) biarpun tidak dalam kerangka gabungan PH. Malah bagi mengelak Amanah bertanding pada mana-mana kerusi yang mahu ditandingi PAS, pada hemat penulis, DAP dan PKR wajar bertolak ansur mana-mana kerusi mereka untuk diberikan kepada Amanah.

Ujian jiwa besar dan politik baru serta matang seperti ini boleh dimulakan dari kaedah ini. Namun idea ini tentunya bersifat mustahil bila PAS juga mempunyai gabungannya tersendiri bersama parti IKATAN yang dilihat mesra BN, mesra PKRĀ tetapi tidak pula mesra DAP. Nah, jika politik baru yang mahu diketengahkan kesan kekalahan PRN Sarawak, maka apa lagi strategi yang tinggal?

Jika persoalan berjiwa besar dan membina kerangka politik baru yang matang sifatnya ditimbulkan, maka jangan pula kita tersilap dengan slogan retorik ini. PH berpeluang memperlihatkan sifat-sifat di atas ketika masing-masing sedang memperhalusi strategi mendepani BN dalam PRN Sarawak tempoh hari.

Malah, PAS sendiri wajar menonjolkan fitrahnya sebagai parti Islam dari hari pertama muktamar bersejarah mereka di Kuala Selangor dulu. Setuju atau tidak, batu nisan Pakatan Rakyat diukir dari situ. Tetapi ya, semuanya telah menjadi sejarah yang boleh digelapkan sama seperti yang dilakukan untuk menjustifikasikan Deklarasi Rakyat hari ini.

Tapi itulah sifat semula jadi ahli politik seperti yang diungkap pada perenggan pertama dalam tulisan ini. Mereka hanya insaf-menginsafi dan muhasabah diri setelah hati rakyat diremuk-redam dengan keangkuhan dan keegoaan kepemimpinan. Dan biar beribu kali pun diulang ratib oleh rakyat mahupun pendokong- pendokong kecil parti dalam PH, hanya kekalahan demi kekalahan sahajalah yang boleh menginsafi mereka. – Roketkini.com

*Penulis adalah Penolong Setiausaha Cawangan DAP USJ Subang Jaya