Berita

Hormati hak asasi manusia, hapuskan hukuman mati

IPOH, 11 MEI: Bersempena Hari Sedunia Menentang Hukuman Mati pada 10 Oktober akan datang, DAP menggesa supaya kerajaan mengambil langkah untuk menghapuskan hukuman mati pada tarikh tersebut.

Membuat gesaan berkenaan, Setiausaha Antarabangsa DAP Kebangsaan, Sivakumar Varatharaju, berkata hukuman mati perlu dihapuskan bukan sahaja atas dasar hak asasi manusia tetapi juga kerana kesilapan berlaku apabila menjatuhkan hukuman tersebut terhadap orang yang tidak bersalah.

“Kenapa kita harus menghapuskan undang-undang ini? Pernah berlaku seseorang yang tidak bersalah telah dijatuhkan hukuman mati.

“Seseorang tertuduh menjadi mangsa situasi dan akhirnya dijatuhkan hukuman mati bagi sesuatu kesalahan yang tidak dilakukannya. Perkara seperti ini pernah berlaku di banyak negara dan sejarah boleh membuktikannya,” jelasnya dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Sivakumar yang juga Ahli Parlimen Batu Gajah, kesilapan teknikal dalam perbicaraan juga adalah salah satu faktor penyumbang kepada seseorang yang tidak bersalah dijatuhkan hukuman mati.

Katanya, menghukum seseorang yang tidak bersalah adalah amat bertentangan dengan sistem keadilan umat manusia mahupun hukum-hukum Tuhan Yang Maha Kuasa.

“Ini adalah alasan yang mencukupi untuk menghapuskan hukuman mati ini,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, ketika sebahagian besar negara sudah mencapai kata sepakat untuk menghapuskan hukuman mati, Malaysia dilihat masih jauh ketinggalan daripada aspek kemanusiaan berkenaan.

Katanya, sebanyak 117 buah negara telah menyokong resolusi untuk menghapuskan hukuman mati yang dibentangkan di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada 2014 manakala hanya 38  negara menolak resolusi berkenaan dan 34 berkecuali; manakala 4 negara lagi tidak hadir sewaktu pengundian.

Dengan merujuk senario berkenaan, beliau yang juga Timbalan Pengerusi DAP Perak berkata, adalah wajar untuk Malaysia sebagai sebuah negara yang bersifat moden dan maju untuk mengambil langkah yang sama dengan menghapuskan hukuman terbabit.

Menurutnya, walaupun kebanyakan negara di rantau Asia masih mengamalkan hukuman mati, ia seharusnya tidak dijadikan alasan untuk Malaysia masih melaksanakan hukuman yang disifatkannya sebagai kolot dan tidak berperikemanusiaan itu.

“Sebaliknya, Malaysia harus menghapuskan hukuman mati supaya negara ini boleh menjadi sebuah negara teladan kepada negara-negara berkenaan (rantau Asia),” katanya. – Roketkini.com