Berita

Jentolak syarikat roboh pagar adat kaum Semelai

BERA, 11 MEI: DAP Pahang kesal dan mengutuk tindakan pemaju, Sri Jengka Sdn. Bhd. yang bertindak sewenang-wenang merobohkan sebahagian pagar adat penduduk kaum Semelai yang didirikan bagi menjaga sempadan wilayah adat mereka.

Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji, berkata kerajaan negeri Pahang nampaknya tidak serius menyelesaikan masalah tanah adat kaum Semelai Kampung Lubuk Perah yang  telah berlaku sejak tiga tahun lalu.

“Tiada lagi jaminan untuk masa depan penduduk di sini. Saya difahamkan bahawa pihak kerajaan negeri telah memajakkan tanah ini kepada pihak swasta untuk penanaman kelapa sawit,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Mentakab.

Insiden yang berlaku sekitar 10.30 pagi semalam menyaksikan sebahagian pagar adat telah  dirobohkan pemaju, namun tindakan itu berjaya dihentikan Tok Batin Kampung Lubuk Perah, Hajemi Din dan beberapa penduduk yang berkawal.

Berlaku sedikit pertengkaran antara Tok Batin dan wakil pihak pemaju apabila mereka bertindak mahu memindahkan Balai Adat ritual kaum Semelai, namun berjaya ditenangkan pihak polis dan penduduk.

“Rayuan dan aduan kami, penduduk orang Semelai Kampung Lubuk Perah berkenaan tanah dan wilayah adat kami tidak dipedulikan pihak berkuasa. Suara kami tidak dipedulikan,” kata Tok Batin Hajemi kepada Roketkini.com

Dalam satu sidang media April lalu bersama beberapa wakil penduduk Kampung Lubuk Perah di pejabatnya, Tengku Zulpuri mendesak supaya pencerobohan wilayah adat Orang Asal Semelai di Kampung Lubuk Perah diselesaikan segera oleh pihak berkuasa.

“Saya berasa sangat hairan mengapa sampai sekarang kerajaan negeri seolah-olah tidak melakukan tindakan. Ia bukan sahaja telah menjejaskan mata pencarian penduduk kampung, tetapi masa depan mereka,” kata beliau.

Ini merupakan insiden kedua melibatkan cubaan merobohkan pagar adat oleh pihak pemaju setelah 65 hari penduduk kampung berkawal di kawasan tersebut 24 jam sehari secara bergilir-gilir.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bandar 32 Bera menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pencerobohan yang berlaku.

Menurut laporan itu, sebanyak lima kenderaan luar masuk ke kawasan berkenaan termasuk kenderaan rasmi anggota polis, sebuah bulldozer dan sebuah excavator.

“Syarikat pemaju Sri Jengka telah meroboh sebahagian pagar adat kami tanpa perbincangan.

“Saya minta pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak penceroboh (yang menceroboh) tanah adat kami. Kami tetap akan mempertahankan tanah adat dan wilayah kami,” laporan itu dipetik.

Laporan itu turut menyatakan bahawa penduduk Kampung Lubuk Perah akan membina semula pagar adat yang telah dirobohkan dan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap penceroboh.

Menurut Tok Batin Hajemi, pada Ogos 2015 tahun lalu, satu perbincangan melalui telefon telah pun dibuat dengan Menteri Besar Pahang.

“Dalam perbualan telefon itu, Menteri Besar Pahang menyatakan bahawa tanah-tanah orang asli dan tapak perkuburan di Kampung Lubuk Perah yang diceroboh syarikat Sri Jengka Sdn. Bhd. akan dipulangkan semula,” jelasnya.

Namun, disebabkan tiada sebarang tindakan, pada 23 November 2015, satu dialog telah diadakan di antara 16 wakil penduduk Kampung Lubuk Perah dan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Setakat ini masih tiada sebarang tindakan atau maklum balas positif diterima daripada pihak kerajaan negeri. – Roketkini.com