Berita

Rakyat Malaysia kena tanggung keingkaran pembayaran 1MDB atau tidak? Kerajaan perlu jawab

KUALA LUMPUR, 11 MEI: Kerajaan perlu menjelaskan sama ada rakyat Malaysia perlu menanggung akibat daripada keingkaran (default) 1MDB membayar faedah kepada pemegang bon, kata Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Tony Pua.

Katanya, isu sama ada 1MDB berunding dengan pemegang bon tidak penting sama sekali kerana isu yang besar ialah sama ada rakyat Malaysia yang akan menanggung bencana kewangan yang dilakukan oleh 1MDB.

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Johari Abdul Ghani, tidak perlu berdolak-dalik mengatakan rundingan 1MDB dengan pemegang bon adalah sesuatu yang baik.

“Rundingan itu terpaksa diadakan bagi membataskan kerugian besar yang harus ditanggung oleh kedua-dua syarikat dan pemilik 1MDB, iaitu Kementerian Kewangan sendiri.

“Dalam keadaan mengerikan seperti itu, Johari boleh mengatakan bahawa segalanya baik-baik saja dengan memanggil penglibatan 1MDB dengan pemegang bon yang menggunakan mata wang dolar AS itu sebagai langkah yang baik.

“Ini merupakan satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab oleh Timbalan Menteri Kewangan yang baru dilantik menggantikan Ahmad Maslan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Tony berkata demikian ketika mengulas kenyataan Johari semalam bahawa tindakan 1MDB memulakan proses rundingan dengan pemegang bonnya yang menggunakan mata wang dolar AS adalah langkah yang baik bagi memulihkan keyakinan dalam pasaran dan mencegah panik.

“Johari mungkin hidup di planet lain. 1MDB telah ingkar membayar faedah kepada bon bernilai AS$1.75 bilion sebelum ini. Tidak lama lagi, ia bakal ingkar kepada bon AS$1.75 bilion yang kedua.

“Pada masa sama, syarikat itu juga telah ingkar bayar silang (cross-default) kepada satu lagi bon Islamik bernilai RM7.4 bilion dan akan terpaksa membayar pinjaman dari SOCSO bernilai lebih RM800 juta.

“Ini bermakna rakyat Malaysia terpaksa menanggung AS$3.5 bilion dan RM8.2 bilion, atau keseluruhannya kira-kira RM22.2 bilion disebabkan salah urus dan penyelewengan dalam 1MDB,” tambah beliau.

Jelas Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, walaupun bon-bon tersebut dijamin oleh International Petroleum Investment Corporation (IPIC), Kementerian Kewangan telah menyediakan tuntutan ganti rugi bagi kerugian dan kerosakan yang dialami oleh syarikat itu.

“Jika apa yang berlaku antara 1MDB dan IPIC hanyalah ‘pertikaian antara dua entiti korporat’ seperti dinyatakan Johari sebelum ini, mengapa Kementerian Kewangan bersetuju menjamin  ganti rugi kepada IPIC seperti yang ditulis dalam kertas terma terikat ditandatangani 1MDB dan IPIC pada Mei tahun lalu?

“Lebih buruk lagi, semasa 1MDB terpaksa berunding dengan pemegang bon untuk kononnya mengembalikan keyakinan pasaran dan mencegah panik, bagaimana pula dengan pembayar cukai Malaysia yang kini terpaksa bertanggungjawab ke atas masalah kewangan 1MDB?

“Adakah Johari rasa tidak penting untuk mengembalikan keyakinan dan mencegah panik yang dialami oleh rakyat Malaysia?” soalnya. – Roketkini.com