Berita

Pakatan Harapan akan kaji kesalahan, kelemahan dalam pilihanraya Sarawak

PETALING JAYA, 11 MEI: Majlis Presiden Pakatan Harapan memutuskan untuk  mengadakan satu mesyuarat khas dalam tempoh yang terdekat untuk mengenal pasti segala kesalahan dan kekurangan yang dihadapi gabungan pembangkang berkenaan dalam pilihanraya negeri Sarawak yang lalu.

Dalam satu kenyataan bersama, ketiga-tiga pemimpin komponen Pakatan Harapan, Amanah, PKR dan DAP, turut memaklumkan bahawa setiap parti telah dan sedang menjalankan post-mortem di peringkat parti masing-masing.

“(Kami akan) mengambil langkah-langkah yang perlu untuk memperbetulkan dan memperbaiki organisasi dan strategi kami khususnya untuk berhadapan dengan gelanggang yang lebih besar, iaitu pilihanraya umum ke-14,” kata kenyataan tersebut yang dibacakan oleh Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Selain Wan Azizah, pemimpin tertinggi lain yang turut menurunkan tandatangan dalam kenyataan tersebut ialah Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Dalam pada itu, Majlis Presiden Pakatan Harapan turut mengakui bahawa kelemahan yang telah ditonjolkan gabungan berkenaan pada 7 Mei yang lalu telah memberikan sedikit sebanyak kesan kepada tahap keyakinan rakyat terhadap kemampuan Pakatan Harapan.

“Kami mendengar segala pandangan, keluhan dan kritikan daripada rakyat, pengundi, pekerja parti, penyokong, sukarelawan, calon dan pimpinan, serta pelbagai pihak lain, tentang persediaan, perjalanan dan prestasi kami dalam pilihanraya ini,” kata kenyataan itu lagi.

Ketika ditanya pemberita mengenai kemungkinan Pakatan Harapan meletakkan calonnya dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan di Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar dalam satu tarikh yang belum ditetapkan, Wan Azizah berkata ia masih dalam perbincangan.

“Namun, kita semua mesti tahu bahawa padang adalah tidak sama rata untuk pembangkang dan kerajaan.

“Memandangkan ini adalah pilihanraya kecil dan bukannya pilihanraya umum sudah tentu Barisan Nasional akan menggunakan segala jentera kerajaan yang ada untuk memberi tumpuan kepada pilihanraya kecil itu nanti, itulah cabaran yang kita hadapi,” katanya.

Dua kerusi Parlimen itu kosong setelah Ahli Parlimen Sungai Besar, Datuk Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khairil Anuar Wan Ahmad terlibat dalam tragedi malang nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak Khamis minggu lalu.

Nahas berkenaan turut mengorbankan empat lagi individu yang lain. – Roketkini.com