Berita

Rasuah bukan jenayah tanpa mangsa, rakyatlah mangsa skandal 1MDB

SETIU, 14 MEI: Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, berkata cabaran yang perlu dihadapi Pakatan Harapan ketika ini adalah untuk menyakinkan 30 juta rakyat Malaysia bahawa kegiatan rasuah merupakan satu jenayah yang memberi kesan langsung terhadap kehidupan mereka.

Merujuk skandal kewangan RM50 bilion yang melibatkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau bagaimanapun mengakui adalah sukar untuk pakatan pembangkang menyakinkan rakyat mengenai hakikat bahawa rakyat adalah mangsa kepada kegiatan rasuah.

“Dalam kes jenayah biasa seperti samun, rompakan atau pembunuhan, adalah mudah untuk mengenalpasti mangsa tetapi dalam isu rasuah ia seolah-olah hal yang terpencil dan jauh dari perhatian masyarakat, tambahan pula seolah-olah tiada mangsa yang terlibat.

“Bagaimanapun ia adalah kesilapan yang paling besar sekali – bahawa rasuah adalah jenayah tanpa mangsa,” tegasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sejak tahun lalu, media-media antarabangsa seperti foreignpolicy.com dan majalah TIME telah meletakkan dan menyenaraikan Malaysia di kedudukan yang tercorot di dalam laporannya berkaitan isu rasuah dan amalan kronisme.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah berkata, tiga cabang kerajaan iaitu Eksekutif, Parlimen dan Perundangan harus bertanggungjawab kerana membiarkan reputasi dan nama baik negara tercemar ekoran laporan-laporan buruk yang dikeluarkan oleh media antarabangsa.

Malah, menurutnya, sikap tidak ambil peduli masyarakat terhadap gejala rasuah yang kian menular di negara ini juga adalah salah satu punca terjadinya hal sedemikian.

“Malahan, ketika seluruh negara sedang ghairah mengenai penipuan berkaitan skandal kewangan global pertama yang melibatkan negara, iaitu skandal RM50 bilion 1MDB, kesemua institusi negara di Malaysia hidup dalam kepura-puraan, seolah-olah skandal melibatkan 1MDB tidak pernah wujud langsung,” ujarnya.

Sehubungan itu, bagi mengatasinya, Kit Siang menyeru supaya rakyat Malaysia menyedari dan memahami bahawa skandal kewangan 1MDB yang melibatkan berbilion ringgit bukanlah jenayah tanpa mangsa.

Ia adalah kerana, jelas beliau, skandal kewangan yang melibatkan anak syarikat Kementerian Kewangan terbabit bakal mengakibatkan generasi rakyat Malaysia akan datang terpaksa menanggung hutang yang banyak. – Roketkini.com