Berita

Kerajaan Pahang diminta berbudi bicara tinggi selesaikan pertikaian tanah adat Orang Asal Semelai  

KUANTAN, 20 MEI: DAP meminta isu pertikaian tanah adat Orang Asal Semelai dengan sebuah syarikat swasta, Sri Jengka Sdn Bhd, di Kampung Lubuk Perah daerah Bera diselesaikan segera dengan budi bicara tinggi kerajaan negeri Pahang.

Merujuk laporan Roketkini sebelum ini, Naib Pengerusi DAP Pahang, Tengku Zulpuri Shah, berkata walaupun penduduk telah berunding dan mengadakan  pertemuan dengan Menteri Besar Pahang, tiada sebarang kata putus dan penyelesaian yang jitu terlaksana.

Sebaliknya, beliau menjelaskan, mereka terus diancam oleh pihak syarikat yang cuba memasuki hadangan (pagar adat) yang dibina di sempadan tanah mereka seperti insiden 10 Mei lalu dengan merobohkan sebahagian pagar tersebut dengan jentolak.

“STengku Zulpuri2aya amat berharap pihak kerajaan negeri menggunakan budi bicara yang tinggi untuk menyelesaikan isu pertikaian tanah antara penduduk dan syarikat swasta tersebut,” kata beliau dalam ucapannya di Dewan Undangan Negeri Pahang kelmarin.

Menurut Adun Mentakab itu, walaupun tanah tersebut didakwa telah dipajakkan kepada syarikat swasta terbabit selama 90 tahun, pertikaian tanah yang berlanjutan hanya akan memburukkan lagi keadaan dan memberi kesan terhadap Orang Asal Semelai yang dipercayai telah menetap di situ selama lebih dua ratus tahun.

“Sudah lebih 68 hari penduduk kampung berkenaan berkawal di hadangan sempadan tanah secara bergilir-gilir 24 jam setiap hari.

“Bagaimana mereka hendak teruskan kehidupan normal mereka dalam keadaan begini ditambah dengan kos sara hidup yang makin tinggi?” soal Tengku Zul.

Apa yang menyedihkan, kata beliau, ialah banyak hutan dan kebun-kebun getah yang diusahakan dan menjadi punca pendapatan penduduk telah musnah dan menyekat sumber rezeki mereka.

Pada 11 Mei lalu, Roketkini melaporkan insiden yang berlaku sekitar 10.30 pagi sehari sebelumnya yang menyaksikan sebahagian pagar adat telah  dirobohkan pemaju sehingga telah mencetuskan sedikit ketegangan.

Sehubungan itu, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Bandar 32 Bera menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap insiden tersebut.

Menurut Tok Batin Kampung Lubuk Perah, Hajemi bin Din, syarikat pemaju Sri Jengka telah meroboh sebahagian pagar adat mereka tanpa perbincangan.

“Saya meminta pihak berkuasa mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak penceroboh tanah adat kami.

“Kami tetap akan mempertahankan tanah adat dan wilayah kami,” katanya dalam laporan kepada polis. – Roketkini.com