Berita

Hudud: BN tiada pendirian bersama, parti komponen patut boikot kempen PRK

KUALA LUMPUR, 3 JUN: Parti-parti bersekutu Barisan Nasional, MCA, MIC dan Gerakan sepatutnya mempunyai pendirian tetap berhubungan usul Rang Undang-Undang Persendirian ‘hudud’ Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang genap satu minggu yang lalu di Dewan Rakyat.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, parti-parti berkenaan dilihat tidak konsisten dalam pendiriannya, malah mereka diam membisu dan tidak membantah setelah dua kali mesyuarat kabinet dilakukan selepas usul ‘hudud’ berkenaan dibentangkan di Parlimen.

“Ternyata tidak ada satu pun menteri daripada MCA, MIC atau Gerakan berani untuk protes terhadap pengkhianatan berkenaan di dalam sidang mesyuarat kabinet itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng menegaskan bahawa DAP tidak menentang agama Islam, tetapi tegas membantah usul Hadi yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

“Sebarang pindaan kepada kuasa mahkamah syariah tidak boleh dilakukan melalui pindaan undang-undang biasa yang hanya memerlukan majoriti mudah.

“Ia mesti dilakukan dengan pindaan Perlembagaan yang memerlukan majoriti dua pertiga,” jelas beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menurutnya lagi, Umno dilihat memperolok-olokan MCA dan parti komponen BN yang lain dengan mencabar mereka supaya keluar dari BN, sedangkan Umno tahu mereka tidak akan berbuat demikian.

“Ugutan untuk keluar (BN) oleh pemimpin MCA, MIC dan Gerakan tidak akan pernah berlaku dan mereka akan mencari alasan, seperti mana mereka menyertai semula kerajaan walaupun pernah berjanji untuk tidak menyertai Kabinet dan kerajaan jika mereka (BN) menunjukkan prestasi buruk dalam pilihanraya umum ke-13,” ujarnya.

Kegagalan parti-parti komponen BN untuk menetapkan pendirian dan prinsip itu pula seharusnya tidak dialihkan dengan menyerang DAP seperti saranan supaya menggesa DAP keluar daripada kerajaan negeri Selangor.

“BN yang sebenarnya membantu dan memberi keutamaan terhadap usul hudud Hadi tersebut di Parlimen dan MCA harus dengan segera keluar BN untuk membuktikan bahawa mereka mempunyai prinsip menentang usul terbabit,” katanya.

Boikot sahaja kempen Sg Besar dan Kuala Kangsar

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok berkata MCA dan parti komponen BN lain yang dilihat menentang usul ‘hudud’ Hadi supaya membuktikan ketegasan mereka dengan memboikot pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang akan diadakan pada 18 Jun.

Teresa Kok yang juga Ahli Parlimen Seputeh menyifatkan kenyataan Presiden MCA, Datuk Liow Tiong Lai yang cuba menyakinkan kaum Cina supaya tidak gentar dengan usul ‘hudud’ Hadi sebagai taktik untuk cuba mengekalkan undi kaum Cina terhadap BN.

“Jika Liow benar-benar serius menentang usul berkenaan, beliau tidak harus memberikan mesej yang tidak jelas dan mengelirukan,” ujarnya.

RUU persendirian untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 telah dibacakan di Parlimen pada 26 Mei lalu, setelah diberi keutamaan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman berbanding aturan mesyuarat yang asal.

Usul tersebut adalah hasil kerjasama PAS dan Umno setelah parti Islam itu meninggalkan pakatan pembangkang hampir setahun yang lalu. – Roketkini.com