Berita

Kes rogol 91 orang kanak-kanak Malaysia, DAP gesa kerajaan jangan duduk diam

KULAI, 3 JUN: Setelah warga British, Richard Huckle mengaku telah melakukan serangan seksual terhadap 23 kanak-kanak seawal usia enam bulan di ibu kota sejak 2006, apakah tindakan yang diambil oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang tempoh itu?

Persoalan itu dilontarkan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching yang meminta penjelasan pihak polis sama ada terdapat laporan dari mana-mana pihak terhadap Huckle sepanjang tertuduh berada di Malaysia dari 2006 hingga 2014.

Katanya, tertuduh dipercayai telah menyerang puluhan kanak-kanak negara ini, justeru adalah tidak masuk akal jika keluarga kepada semua mangsa berkenaan tidak melakukan sebarang laporan polis terhadapnya.

“Jika laporan polis dibuat dan tindakan yang sewajarnya diambil, tentu kita dapat menghalang daripada lebih ramai kanak-kanak menjadi mangsa.

“Disebabkan itu, polis perlu menyatakan sama ada mereka menerima laporan tersebut. Ia penting bagi membuktikan polis tidak bertanggungjawab terhadap kegagalan negara menghalang jenayah kejam Huckle itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, negara digemparkan dengan berita warga British, Richard Huckle seorang penghidap pedofilia yang dipercayai telah melakukan serangan seksual terhadap 91 kanak-kanak seawal usia enam bulan. 23 orang mangsanya datang daripada keluarga miskin di Malaysia.

Huckle yang kini sedang dihadapkan di mahkamah di London telah ditahan di lapangan terbang London Gatwick pada Disember 2014 selepas pulang dari Malaysia untuk menyambut Krismas.

Pada masa sama, Nie Ching yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP menggesa Kementerian Wanita, Keluarga dan Pembangunan Masyarakat menghubungi pihak berkuasa di England bagi mendapatkan identiti mangsa-mangsa Huckle.

Jelasnya, langkah itu amat mustahak bagi menyediakan bantuan yang diperlukan kepada mangsa, selain memastikan sama ada ibu bapa atau keluarga mangsa telah mengabaikan mereka sehingga membiarkan perkara itu terjadi.

“Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 jelas menyatakan bahawa mana-mana individu yang mengabaikan atau membiarkan kanak-kanak terdedah kepada penderaan boleh dikenakan denda sebanyak RM20,000 dan 10 tahun penjara.

“Malah, Dewan Rakyat telah meluluskan rang undang-undang berhubung akta itu pada April lalu yang memperuntukkan hukuman lebih berat kepada pesalah, iaitu denda RM50,000 dan 20 tahun penjara.

“Jadi, tidak ada gunanya jika hukuman tersebut diberatkan tetapi tidak ada pelaksanaan oleh pihak berwajib,” ujarnya. – Roketkini.com