Berita

Penduduk Sekinchan sambut baik calon Amanah, tolak politik perkauman

SEKINCHAN, 7 JUN: Calon Parti Amanah Negara (Amanah) bagi P.93 Sungai Besar yang mewakili Pakatan Harapan, Azhar Abdul Shukur mengunjungi Pasar Pagi Sekinchan untuk sesi ramah mesra bersama penduduk setempat.

Kunjungan itu disertai Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Adun Sekinchan, Ng Sue Lim serta penyokong dari setiap parti komponen Pakatan Harapan.

Sekitar jam lapan pagi, pasar ini telah dipenuhi pengunjung yang ingin mendapatkan keperluan harian dan kehadiran rombongan calon, sedikit sebanyak memeriahkan lagi suasana.

Azhar yang turut ditemani isterinya bersalaman dan bertukar-tukar pandangan dan pendapat ringkas mengenai masalah setempat di sini.

Rata-rata pengunjung dan peniaga pelbagai kaum dilihat memberikan respon yang positif terhadap kehadiran calon berkenaan.

Halimah, 42, seorang peniaga barangan kosmetik yang merupakan penduduk tetap di kawasan ini, tersenyum ketika disapa Azhar, malah menyambut mesra salam yang dihulur isteri beliau.

“Saya menyokong mana-mana calon yang menganjurkan keharmonian dan kesepaduan,” ujar Halimah ketika ditanya calon mana yang menjadi pilihan hatinya.

“Apa yang penting ialah akhlak calon berkenaan, saya tidak sokong calon yang cuba memecahbelahkan rakyat, bersifat perkauman,” katanya sambil menambah sifat kerendahan hati yang ditonjolkan Azhar sedikit sebanyak menepati ciri-ciri pemimpin yang baik.

Sungai Besar bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Azhar, Budiman Mohd Zohdi, mewakili Barisan Nasional dan Dr Abdul Rani Osman mewakili PAS..

Kerusi Parlimen Sungai Besar kosong ekoran nahas helikopter yang melibatkan Tan Sri Noriah Kasnon dan penumpang yang lain di Sebuyau, Sarawak.

PRK Parlimen Sungai Besar akan diadakan pada 18 Jun ini.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18% pengundi Melayu, 30.68% pengundi Cina, 1.91% pengundi India dan 0.23% pengundi dari kaum lain. -Roketkini.com