Berita

‘Adik-adik’ dalam PAS patut undi Amanah, pesan Mat Sabu

KUALA KANGSAR, 7 JUN: Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu menegaskan hanya melalui kerjasama politik, salahguna kuasa Barisan Nasional ke atas rakyat boleh dihentikan. Sebaliknya tanpa kerjasama politik, matlamat itu sukar terlaksana.

Kejayaan ini jelasnya sudah terbukti melalui kerjasama politik antara PAS dan Semangat 46 di Kelantan tahun 1990, begitu dalam pilihanraya umum pada 2008 dengan terbentuknya kerajaan pakatan pembangkang di lima buah negeri iaitu di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan kekal di Kelantan.

Malah katanya, kerjasama politik gabungan pembangkang merupakan formula yang amat digeruni BN dan tiada sebab bagi Amanah untuk bergerak bersendirian memperjuangkan kepentingan seluruh rakyat.

“Kekuatan Amanah adalah bersama PKR dan DAP dalam Pakatan Harapan.

“Pesan kepada adik-adik di dalam PAS, saya menyertai PAS pada tahun 1978 sewaktu PAS tewas di Kelantan dan hilang kuasa sebagai kerajaan negeri.

“Saya sedar, jika dilihat secara bersendirian, PAS kuat. Tetapi, bila masuk pilihanraya, kekuatan diukur melalui jumlah undi dan bukannya parti,” kata beliau dalam ceramah kelompok Amanah di Kampung Sayong Lembah dekat sini malam tadi.

Menurut Mohamad, walau sekuat manapun PAS ketika itu, ia tidak berupaya untuk mencapai kemenangan dan melebarkan lagi pengaruh khususnya di negeri-negeri di pantai barat.

Fadzil Noor rintis jalan berkawan

“Kalian boleh bertakbir kuat, tetapi datang pilihanraya, tak menang. Kena terima bahawa di sesetengah kawasan, orang bukan Melayu dan bukan Islam menjadi penentu kemenangan.

“Oleh itu, pemimpin-pemimpin kita seperti Allahyarham Ustaz Fadzil Noor, Allahyarham Tuan Guru Nik Abdul Aziz dan pimpinan lain merintis jalan, berusaha dan bersusah-payah berkawan dengan parti-parti lain supaya boleh capai lebih kemenangan dalam pilihanraya,” ujarnya.

Selepas berjaya membentuk pakatan pembangkang, Mohamad berkata PAS berjaya meluaskan pengaruh dan mendapat kepercayaan yang lebih besar dari rakyat berbilang kaum dan agama.

Beliau berharap PRK Kuala Kangsar menjadi sebuah referendum rakyat yang jelas kepada kerajaan BN di atas segala penyelewengan, kemelut politik dan ekonomi yang melanda Malaysia.

“Kepada saudara-saudara di dalam PAS yang dikasihi dan gigih, kalian boleh bekerja untuk calon kalian tetapi tidak menang pilihanraya jika bersendirian.

“Jika mahu kekal bersama PAS, kekal lah, tetapi sampai masanya kelak, undilah calon Amanah, Dr Ahmad Termizi Ramli!” ujar Mohamad. – Roketkini.com