Berita

‘Ketupat Amanah’ simbol keharmonian bersama Pakatan Harapan

SEKINCHAN, 7 JUN: Parti Amanah Negara (Amanah) Sungai Besar hari ini melancarkan ‘bak chang’ halal, sejenis ketupat pulut makanan tradisi kaum Cina, sebagai lambang kepada perpaduan serta integrasi kaum dan budaya di negara ini.

Presidennya, Mohammad Sabu berkata, makanan berkenaan dipilih sebagai makanan yang menyatukan semua kaum kerana sejarah pembuatannya yang berkait rapat dengan naratif perjuangan revolusi di Tanah Besar China suatu ketika dahulu.

Beliau merujuk kepada kisah penyair terkenal China, Qu Yuan yang setelah gagal menasihati rajanya yang korup, membunuh diri di sungai Miluo.

Penduduk yang simpati terhadap penyair berkenaan melemparkan kepulan nasi ke dalam sungai berkenaan bagi mengelakkan ikan daripada memakan mayat penyair terbabit.

Makanan berkenaan kemudiannya diberi nama Bak Chang dan menjadi makan tradisi kaum Cina setiap kali tiba Festival Bak Chang yang selalunya diadakan di antar bulan Mei sehingga pertengahan Jun.

Malah, Mohammad Sabu atau lebih mesra dipanggil Mat Sabu yang terkenal dengan selorohnya di ceramah-ceramah berkata, kuih tradisi kaum Cina itu juga secara kebetulan sama dengan simbol Amanah.

“Maka (dengan ini) kita dapat membudayakan, merapatkan tali silatulrahim perpaduan kita dengan makanan, budaya dan sebagainya,” katanya

Dalam pada masa yang sama, Mat Sabu turut menggesa supaya semua kaum mencari titik persamaan dalam berbudaya demi menjaga keharmonian dan keamanan di negara.

“Jika kita mencari perbezaan, memang banyak dan akan berlaku pertembungan, tapi berlainan kaum, berlainan agama pun, kalau kita hendak perpaduan, kita hendak kepada keharmonian, kita boleh cari keharmonian dalam masyarakat kita,” ujarnya di program anjuran Angkatan Wanita Amanah itu.

Terdahulu, Mat Sabu bersama-sama Calon Pakatan Harapan PRK Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur cuba membuat ketupat ‘bak chang’ yang diisi dengan inti kacang merah.

Turut hadir, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Kota Raja Dr. Siti Mariah Mahmud dan Adun Sekinchan, Ng Suee Lim. – Roketkini.com