Berita

PRK Kuala Kangsar: Jangan terperangkap permainan hudud

KUALA KANGSAR, 7 JUN: Rakyat diminta tidak terperangkap dalam mainan isu hudud menjelang pilihanraya kecil kerana tuntutan syariah yang lebih dekat dan perlu dilaksanakan adalah soal tadbir urus yang baik, membanteras rasuah, membasmi kemiskinan, dan keadilan sosial.

Ini kerana, negara dan rakyat sedang terbeban dalam kemelut politik dan ekonomi di bawah pentadbiran BN yang diketuai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berikutan beberapa skandal mega 1MDB dan isu derma, GST, ketirisan, kenaikan kos sara hidup dan sebagainya.

“Hudud adalah sebahagian dari tuntutan syariah. Namun, urus tadbir yang baik, membanteras rasuah, isu pendidikan, kemiskinan dan sebagainya juga adalah tuntutan syariah, kenapa ini tak diutama tetapi isu hudud?” soal Pengerusi Amanah Perak, Asmuni Awi dalam satu sidang media di sini.

Menurut beliau, melaksanakan syariah tidak hanya tertumpu kepada pelaksanaan hudud yang perlu melalui halangan perlembagaan dan sebagainya sebaliknya perlu dilihat dari sudut keutamaan.

Menjawab dakwaan pihak tertentu yang menuduh Amanah menjadi ‘tongkat’ kepada UMNO, beliau berkata Amanah menyertai pilihanraya untuk mengubah kerajaan dan bukan sekadar menjadi penasihat.

“Sekarang sebenarnya siapa yang beri UMNO tongkat? Kita tidak main-main masuk pilihanraya. Kita nak perubahan sebenar dan bukan sekadar nak bagi nasihat,” tegas Asmuni. – Roketkini.com