Berita

Mana dividen Skim Simpanan Pendidikan Nasional?

SEGAMAT, 8 JUN: Kerajaan Persekutuan BN digesa menjelaskan sebab mengapa dividen untuk tahun 2015 kepada pendeposit akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) masih tidak diumumkan sehingga ke hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jementah, Tan Chen Choon beliau menerima maklum balas tersebut daripada pendeposit-pendeposit skim berkenaan serta meminta kerajaan menerangkan hal berkenaan dengan segera kepada umum.

Ia berikutan pengumuman dan kemasukan bayaran dividen untuk tahun lalu ke dalam akaun pendeposit kebiasaannya berlaku pada awal bulan Januari setiap tahun, namun anehnya dividen untuk tahun lepas masih belum diumumkan sehingga kini.

“Saya telah mengemukakan soalan ini kepada Exco Pendidikan dalam sidang Dewan Negeri Johor pada April lalu, namun tidak dijawab.

“Malah, pada sidang dewan Parlimen pada Mei lepas, saya menerusi Ahli Parlimen Ipoh Timur, Thomas Su mengemukakan soalan bertulis berhubung hal tersebut kepada Kementerian Pendidikan Tinggi, tetapi ia tidak dijawab secara terus-terang oleh beliau,” katanya.

Chen Choon menjelaskan, SSPN merupakan satu skim simpanan yang membolehkan ibu bapa menyimpan pendapatan mereka bagi membuat persediaan kewangan untuk anak yang bakal melanjutkan pelajaran, justeru mereka mempunyai hak mengetahui perkara itu.

Katanya, setakat bulan Mac 2016, SSPN mempunyai sekitar 2.52 juta pendeposit yang melibatkan simpanan sebanyak RM2.13 bilion ringgit. – Roketkini.com