Berita

Calon Pakatan Harapan sokong tuntutan BERSIH

SUNGAI BESAR, 8 JUN: Calon Pakatan Harapan di pilihanraya kecil Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur menyokong penuh usaha pembaharuan institusi yang dibawa Gabungan Pilihanraya Bersih dan Aidl (BERSIH 2.0).

Bercakap dalam satu sidang media di Ibu Pejabat Amanah di sini, hari ini, beliau turut menegaskan bahawa pendiriannya adalah selaras dengan pendirian Pakatan Harapan dan parti Amanah.

“Sekiranya saya dipilih rakyat menjadi ahli parlimen, sebenarnya kalau saya tidak dipilih pun menjadi ahli parlimen, kita (Pakatan Harapan) tetap menyokong penyingkiran Datuk Seri Najib Razak.

“Najib selaku Perdana Menteri telah membawa banyak kerosakan, banyak kesusahan kepada negara, sebagai pemimpin beliau harus bertanggungjawab atas segala kerosakan yang dilakukan, termasuklah skandal 1MDB,” katanya.

Malah, Azhar menyifatkan ia sebagai salah satu pendidikan politik terpenting bagi rakyat untuk menyedari hakikat bahawa mereka tidak perlu takut menggantikan pemimpin yang korup dan tidak bertanggungjawab.

“Pada masa yang sama, pemimpin perlu juga mengetahui bahawa dia perlu takut kepada rakyat, khususnya sekiranya mereka melakukan penyelewengan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan yang diajukan BERSIH kepada calon yang bertanding pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sama ada mereka akan menyokong usaha untuk menyingkirkan Najib sebagai Perdana Menteri.

Gerakan reformasi pilihan raya itu ingin tahu sekiranya calon bertanding menyokong 10 tuntutan BERSIH untuk perubahan institusi bagi memastikan pilihan raya bebas dan adil.

Azhar berkata, beliau bersama-sama pemimpin pakatan pembangkang yang lain telah turun menyertai perhimpunan BERSIH 4.0, malah program-program yang dianjurkan NGO berkenaan sebelum ini.

Sidang media berkenaan turut dihadiri Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, Ketua Penerangan PKR, Syed Ibrahim Syed Noh, dan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad. – Roketkini.com

 

Berita lain menyusul