Berita

PRK Sungai Besar adalah perlawanan kebaikan menentang kejahatan

SEKINCHAN, 9 JUN: Calon Parti Amanah Negara (Amanah) bagi Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur menegaskan bahawa pertandingan tiga penjuru yang melibatkan ketiga-tiga parti yang diwakili calon Melayu, tidak seharusnya dilihat sebagai pertarungan Melayu lawan Melayu.

Sebaliknya, menurut anak jati Sungai Besar itu, pertembungan tiga parti iaitu Amanah, UMNO, dan PAS itu adalah mengenai pertembungan antara kelompok ‘baik dan jahat’.

“Kita undi orang baik, kita dapat pemimpin yang baik.

“Seluruh Malaysia, daripada Johor sampai ke Perlis rasa marah kepada pimpinan kita yang korup, dan yang curi duit (rakyat),” katanya dalam sesi ceramah di sini, semalam.

Sehubungan itu, Azhar berkata, pengundi pelbagai kaum di Sungai Besar perlu menjadikan platform pilihanraya kecil ini untuk menyampaikan mesej yang jelas mengenai kemarahan rakyat terhadap Barisan Nasional.

“Seluruh Malaysia berharap semua pegundi di sini, supaya undi untuk kami (Pakatan Harapan).

“Satu undi daripada anda sebenarnya mewakili 100 undi daripada seluruh rakyat di Malaysia. Jangan sia-siakan peluang ini,” katanya.

Pada 18 Jun nanti, masyarakat Sungai Besar akan menentukan nasib Azhar yang berhadapan dengan calon Barisan Nasional, Budiman Mohd Zohdi dan calon daripada PAS, Dr. Abdul Rani Osman.

Sungai Besar mempunyai 42,836 pengundi berdaftar dengan 67.18 peratus pengundi Melayu, 30.68 peratus pengundi Cina, 1.91 peratus pengundi India dan 0.23 peratus pengundi dari kaum lain. – Roketkini.com