Berita

Nancy dinasihat jangan menyorok jika benar tidak sokong usul ‘hudud’

KUALA LUMPUR, 8 JUN: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri diminta mempertimbang semula keputusannya untuk tidak hadir pada sesi mengundi bagi usul pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari, seandainya Nancy benar-benar tidak menyokong usul yang akan membuka jalan kepada pelaksanaan hudud itu, beliau seharusnya hadir dan menentang rang undang-undang tersebut semasa sesi mengundi di Dewan Rakyat.

Ketiadaan Nancy akan memudahkan rang undang-undang yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu diluluskan kerana Hadi hanya memerlukan majoriti mudah berdasarkan jumlah ahli parlimen yang hadir pada hari tersebut.

“Keputusannya untuk tidak mengambil bahagian adalah serupa dengan menyokong usul Hadi kerana kelulusan usul itu hanya memerlukan majoriti mudah.

“Dalam erti kata lain, sekiranya ahli-ahli Parlimen yang menentang usul Hadi itu tidak hadir, ia akan memudahkan rang undang-undang tersebut diluluskan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP, keputusan Nancy itu tidak selaras dengan pendirian BN Sarawak di bawah pimpinan Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem yang tidak akan menyokong sebarang pelaksanaan hudud di negara ini.

“Malah, bagi Nancy untuk mengatakan bahawa usul Hadi itu ‘bukan urusan beliau’ adalah sangat tidak bertanggungjawab kerana kehilangan undi untuk menentang usul tersebut boleh menyebabkan kesan yang kekal kepada negara,” jelasnya.

Sekiranya usul itu diluluskan, had hukuman semasa untuk Mahkamah Syariah iaitu penjara tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan enam sebatan boleh ditambah.

Selain itu, kata Zairil, ia membolehkan kebanyakan hukuman yang ditetapkan di bawah kedua-dua enakmen hudud di Kelantan dan Terengganu dijalankan, seperti 100 sebatan untuk hubungan seks luar nikah, 80 sebatan untuk fitnah seksual, 40 hingga 80 sebatan untuk peminum arak dan hukuman penjara serta pelucutan hak harta bagi mereka yang murtad.

Pada 26 Mei lalu Hadi telah membacakan usul pindaan undang-undang tersebut di Parlimen selepas ia dipercepatkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman, namun Ahli Parlimen PAS Marang itu meminta ia ditangguhkan ke mesyuarat akan datang pada 17 Oktober depan. – Roketkini.com