Berita

‘Saya bukan khadam DAP tapi khadam rakyat’

KUALA KANGSAR, 8 JUN: Calon Amanah Kuala Kangsar Dr Ahmad Termizi Ramli menempelak tuduhan jahat pihak lawan yang mendakwa beliau sebagai ‘khadam DAP’, sebaliknya menegaskan dirinya adalah khadam kepada rakyat.

Penyertaannya sebagai calon Amanah di Kuala Kangsar juga tidak berselindung di sebalik kepentingan peribadi tetapi untuk ‘membayar’ semula jasa rakyat Malaysia di atas kejayaan demi kejayaan yang dikecapinya sebelum ini dalam dunia akademik.

“Saya tidak ada kepentingan lain. Pencen saya dah cukup. Inilah masanya saya membayar semula wang yang dikeluarkan tuan-tuan selama ini.

“Saya bukan khadam DAP tapi khadam anda semua, khadam rakyat!” katanya di hadapan kira-kira 300 hadirin di Kampung Baru Jerlun malam tadi.

Sambil menyeru rakyat Malaysia khususnya di Kuala Kangsar berikhtiar untuk menyelamatkan Malaysia, pakar fizik itu berkata perubahan tidak mampu dilakukan tanpa penglibatan seluruh lapisan masyarakat.

“Perubahan tak akan berlaku jika orang Melayu sahaja berubah, atau kaum Cina semata-mata, atau kaum India, Dayak, atau kaum Kadazan sahaja.

“Perubahan perlukan kerjasama seluruh bangsa yang ada di Malaysia,” ujar beliau.

Namun, apa yang terpenting jelasnya ialah dua langkah permulaan kepada perubahan di kedua pilihanraya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Pilihanraya kecil ini bersejarah kerana disinilah mulanya perubahan atau, terencatnya perubahan.

“Kita tidak boleh tewas kerana harga yang perlu dibayar terlalu mahal,” katanya. – Roketkini.com