Berita

Menang di Kuala Kangsar isyarat kembali mentadbir Perak

KUALA KANGSAR, 8 JUN: Setiausaha DAP Perak Wong Kah Woh menyeru pengundi Kuala Kangsar yang berada di luar kawasan supaya pulang mengundi pada 18 Jun ini demi memastikan kemenangan calon Pakatan Harapan (PH).

Kemenangan calon Amanah,  Dr Ahmad Termizi Ramli katanya amat penting kerana ia merupakan isyarat jelas kepada kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya tidak bertindak sewenang-wenang menekan rakyat dengan pelbagai penyelewengan dan cukai membebankan seperti GST.

Kejayaan AMANAH juga merupakan penanda aras kepada peluang PH yang lebih cerah untuk kembali mentadbir negeri Perak.

“Kami memohon tuan-puan semua hubungilah ahli keluarga anda yang berada di luar supaya pulang mengundi 18 Jun ini,” ujar Kah Woh dalam ceramah di Taman Jerlun dekat sini malam tadi.

Sebelum itu, bercakap kepada Roketkini, Ketua Sosialis Muda DAP itu menjelaskan bahawa pengundi berdaftar bagi pilihanraya kecil di Kuala Kangsar dan Sungai Besar memainkan peranan penting sebagai pencetus perubahan.

Menurutnya, antara punca utama berlakunya penurunan jumlah undi khususnya dalam pilihanraya kecil ialah pemikiran bahawa undi mereka tidak berbaloi sama ada parti yang di pilih menang atau tidak.

“Apa yang penting, pengundi perlu menghantar mesej yang jelas kepada BN bahawa segala tindak tanduk mereka selama ini telah membebankan rakyat,” jelasnya. – Roketkini.com