Berita

RUU Hadi memang kunci pelaksanaan ‘hudud’, PM tak perlu berdalih

KUALA LUMPUR, 9 JUN: Rang undang-undang yang dibawa oleh Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang bertujuan meminda  Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, akan membolehkan hukuman hudud dilaksanakan di negara ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari berkata bahawa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Hadi sendiri bahawa usul itu dibuat sekadar untuk “mengangkat martabat” mahkamah syariah hanyalah satu cubaan mengaburi mata rakyat.

Jelasnya, pemansuhan had hukuman 3-5-6, iaitu penjara tiga tahun, denda tidak melebihi RM5,000 dan enam sebatan untuk mahkamah syariah akan membolehkan semua jenis hukuman dilaksanakan oleh kerajaan negeri kecuali hukuman mati.

Oleh itu, katanya, walaupun undang-undang berkenaan tidak merangkumi kesalahan jenayah seperti merompak atau rasuah, hukuman yang hampir tidak ada batasan itu boleh dikenakan kepada mana-mana umat Islam di negeri tersebut.

Ia termasuk 100 sebatan untuk zina, 80 sebatan untuk fitnah zina, 40-80 sebatan kerana mabuk dan hukuman penjara tanpa had jelas dengan penyitaan harta bagi mereka yang disifatkan sebagai sesat dan murtad.

“Memandangkan sebahagian besar daripada enakmen hudud akan diaktifkan dengan pindaan ini, maka adalah salah untuk mengatakan bahawa rang undang-undang Hadi tidak berkaitan dengan hudud,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zairil yang juga Penolong Setiausaha Publisiti DAP menegaskan, jika rang undang-undang Hadi itu diluluskan, ia bermakna apa-apa jenis hukuman boleh dilaksanakan dengan mudah asalkan pindaan dilakukan kepada enakmen negeri yang berkaitan.

Justeru, katanya, ia melahirkan kebimbangan sama ada sistem itu mampu dilaksanakan secara adil atau tidak berikutan segala hukuman kecuali hukuman mati boleh dilaksanakan sesuka hati oleh kerajaan negeri.

“Senario itu membimbangkan, terutama apabila kita mengamati pengalaman pelaksanaan hukum hudud di negara-negara lain pada hari ini.

“Lazimnya, pelaksanaannya mendedahkan bias sosial yang jelas terhadap kumpulan terpinggir, termasuk wanita, orang miskin dan golongan minoriti.

“Apakah jaminan bahawa sistem ini akan mengadili mereka secara adil?” soalnya.

Sebelum usul pindaan Akta Mahkamah Syariah itu berjaya dibentang oleh Hadi pada 26 Mei lalu, ia pernah dicadangkan pada 7 April dan 17 Jun tahun lepas di Dewan Rakyat, namun ditentang oleh ahli-ahli Parlimen UMNO-BN dan gagal dibahaskan. – Roketkini.com