Berita

Sempena Ramadan, sekolah agama terima tajaan RM15 juta Kerajaan Negeri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 9 JUN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menyumbangkan dana berjumlah RM15 juta bagi pembinaan Pusat Pendidikan Al-Itqan yang terletak di Teluk Kumbar.

Menurut Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, projek sekolah agama terbabit yang dijalankan dengan kerjasama syarikat pemaju, Ideal Property Group adalah tepat pada waktunya sejajar dengan kedatangan bulan Ramadan.

“Memandangkan kerajaan negeri telah mendapat pemaju untuk membina sekolah tersebut, pihak sekolah tidak perlu lagi bersusah-payah mencari arkitek, kontraktor atau memohon kepada majlis tempatan untuk kebenaran merancang,” katanya pada sidang media di Komtar, semalam.

Menurut Guan Eng, projek pembinaan yang menguntungkan pelajar sekolah rendah dan menengah itu melibatkan pembinaan empat blok bangunan empat tingkat secara berfasa di atas tanah berkeluasan tiga ekar.

Jelasnya lagi, projek tersebut akan mengambil masa 18 bulan untuk fasa satu yang akan dilengkapi dengan 56 bilik darjah, dua bilik guru, pejabat pentadbiran, bilik rawatan, koperasi, dewan serbaguna, bilik persidangan, perpustakaan, bilik komputer, makmal sains dan kantin.

“Kini, sekolah tersebut mempunyai 220 murid sekolah rendah dalam ruang yang disewa dan 70 pelajar sekolah menengah di premis yang beroperasi di tempat lain, kira-kira 300 meter jauhnya dari sekolah rendah.

“Apabila siap nanti, ia akan mampu menampung 1,000 sehingga 1,200 pelajar sekolah rendah dan menengah menjelang 2018,” kata Setiausaha Agung DAP itu.

Turut hadir di sidang media berkenaan ialah Timbalan Ketua Menteri Datuk Mohd Rashid Hasnon, serta Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Pendidikan Al-Itqan Profesor Madya Dr Abdul Halim Abdul Aziz.

Pusat Pendidikan Al-Itqan yang mula beroperasi pada 1998 merupakan sekolah berintegrasi dua aliran iaitu aliran agama dan perdana serta beroperasi tanpa laba. – Roketkini.com