Berita

Krisis bekalan air Johor: Jangan terlalu bergantung dengan Singapura

KLUANG, 10 JUN: DAP Johor menggesa kerajaan Barisan Nasional supaya tidak mengambil jalan pintas dalam hal ehwal pengurusan sumber air dan pembekalan air terawat di negeri itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin, berkata langkah mengambil bekalan air terawat dari Singapura mungkin dapat membantu Johor menyelesaikan masalah sumber air untuk jangka masa pendek, namun krisis yang sama mungkin berulang lagi.

“Masalah sama akan muncul semula pada masa akan datang jika langkah jangka masa panjang tidak dirancang dan dilaksanakan secara bersungguh-sungguh,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Tan yang juga ahli jawatankuasa DAP Johor menggariskan beberapa perkara yang wajib dipandang serius dan segera dilaksanakan oleh kerajaan bagi memastikan kemapanan sumber air di negeri itu.

Menurutnya, terdapat tiga langkah mustahak yang perlu diambil berat oleh kerajaan agar Johor tidak perlu lagi bergantung kepada mana-mana pihak luar dalam menangani isu pembekalan air, iaitu:

  • Kerajaan perlu mempertingkatkan usaha memulihara dan memelihara kawasan tadahan air. Walaupun DAP sering mengutarakan isu ini di dalam dan luar Dewan Negeri, namun masih banyak aktiviti pertanian dan pembalakan berlaku sehingga menyebabkan pencemaran air dan penyusutan keluasan kawasan tadahan.
  • Kerajaan perlu memperketatkan penguatkuasaan undang-undang sedia ada, iaitu Enakmen Air Negeri Johor 1921. Walaupun ia telah dipinda pada tahun 2014, penguatkuasaan enakmen itu masih lemah dan pencerobohan kawasan tadahan semakin berleluasa.
  • Kerajaan harus mengambil langkah berkesan untuk melaksanakan pengurusan permintaan (demand management), sekaligus mengurangkan penggunaan air per kapita yang tinggi di Johor.

Tan menjelaskan bahawa penggunaan air per kapita di negeri itu yang kini mencecah 220 liter per kapita sehari perlulah dikurangkan kepada sasaran sebanyak 150 liter seorang setiap hari bagi memastikan masalah sumber air di Johor dapat diatasi.

“Kita perlu berusaha untuk mencapai sasaran itu secepat mungkin, jika boleh dalam masa lima tahun.

“Penggunaan air per kapita yang rendah bukan sahaja dapat menghasilkan air yang secukupnya, malah, dapat memupuk sikap penggunaan air secara berhemah di kalangan pengguna sekaligus memastikan kemapanan sumber air untuk jangka masa panjang,” ujarnya.

Tiga hari lalu, media Singapura, Channel NewsAsia melaporkan bahawa negara itu akan membekalkan tambahan 6 juta gallon air terawat setiap hari kepada Johor bermula 4 Jun lepas atas permintaan daripada Badan Kawal Selia Air Johor (BAKAJ) ekoran kemerosotan paras air yang kritikal di Empangan Sungai Layang. – Roketkini.com