Berita

Dr. Mahathir seru pengundi Kuala Kangsar dan Sungai Besar undi calon Pakatan Harapan

SEKINCHAN, 11 JUN: Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohammad berkata kemenangan calon Pakatan Harapan di pilihanraya kecil Parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar akan menjadi referendum penolakan rakyat terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib Razak.

Walaupun beliau mengakui bahawa kemenangan berkenaan tidak akan mengubah dasar atau tampuk kepimpinan negara, kebencian rakyat terhadap Najib harus dizahirkan pada hari pembuangan undi nanti.

“Pilihanraya kecil bukan untuk menukar kerajaan atau dasar kerajaan, pilihanraya kecil kali ini melibatkan hanya dua wakil rakyat.

“Kita tidak akan dapat majoriti, kalaupun kita menang kedua-dua (PRK). Sebaliknya Najib dan BN akan terus menjadi kerajaan”

“PRK ini ialah sebagai satu referendum, satu usaha untuk menunjuk kepada Datuk Seri Najib bahawa rakyat sudah tolak beliau. Itulah tujuan besar dalam pilihanraya ini.

“Sudah tentu kita berharap calon kita menang, malah di Kuala Kangsar juga,” katanya dalam satu sidang media selepas menyampaikan ucaptama di ‘Kolokium Khas 1MDB Dan Derma Najib Razak: Kalut Kecil-Kecilan Atau Bermulanya Kehancuran?’ di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Tun Mahathir berkata bahawa demokrasi yang sebenar tidak akan dapat dilaksanakan jika Najib masih kekal memerintah negara.

Sehubungan itu, beliau merayu supaya pengundi di Kuala Kangsar dan Sungai Besar memberikan sokongan terhadap calon Pakatan Harapan bagi menghantar mesej penolakan yang jelas terhadap BN dan Najib, khususnya

Terdahulu, calon Pakatan Harapan, Azhar Abdul Idrus bagi Sungai Besar hari ini menandatangani Deklarasi Rakyat sebagai tanda menyokong penyingkiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dari tampuk pemerintahan negara.  

Mahathir sebelum ini telah dilaporkan sebagai berkata akan menyokong mana-mana calon yang menyokong usaha Deklarasi Rakyat. Beliau akan meneruskan jelajah menentang Barisan Nasional bersama pimpinan Pakatan Harapan di Kuala Kangsar, esok. – Roketkini.com