Berita

Saman seluar ketat Kelantan: Sepatutnya didik lelaki tundukkan pandangan

SEKINCHAN, 12 JUN: Sosialis Muda DAP (DAPSY) membidas tindakan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JAHEAIK) yang dilihat melakukan penguatkuasaan ‘ops aurat’ secara bermusim dan tidak menyeluruh kepada semua golongan jantina dan kedudukan.

Ahli Jawatankuasanya, Edry Faizal berpandangan bahawa agama Islam adalah bersifat syumul (menyeluruh) dalam setiap aspeknya, malah, tidak terhad dalam bulan tertentu khususnya, Ramadhan.

“Selalunya penguatkuasaan moral yang terjadi di negara ini ditekankan terhadap golongan wanita, malah mereka sering dipersalahkan terhadap berlakunya kebejatan moral.

“Sedangkan terdapat juga golongan lelaki yang mengenakan pakaian yang dilihat terlalu menonjol dan tidak menutup aurat,” katanya kepada Roketkini.com.

Tambahnya, penguatkuasaan berkenaan juga dilihat tidak seimbang dan tidak adil kerana seringkali tindakan dikenakan terhadap golongan miskin atau kebanyakan, tanpa menyentuh golongan elit, yang mempunyai pangkat dan kedudukan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan JAHEIK yang memberikan notis dan kaunseling terhadap golongan wanita yang berpakaian ketat. Malah terdapat juga laporan media yang mengatakan mereka dikenakan denda.

Mengulas lanjut, beliau berkata, mengikut ajaran Islam yang sebenar, golongan lelaki harus menundukkan pandangannya terlebih dahulu dan kesalahan tidak sepatutnya diletakkan ke atas golongan wanita.

“Penguatkuasaan sekarang seolah-olah berat sebelah, sebab hanya menjurus kepada golongan wanita. Tidak pernah kita dengar golongan lelaki dikuatkuasakan menundukkan pandangan,” ujarnya.

Terdahulu, Edry bersama-sama Adun Mentakab, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji  dan sukarelawan DAPSY yang lain mengedarkan akhbar The Rocket versi Bahasa Malaysia kepada masyarakat di sekitar Sekinchan. – Roketkini.com