Berita

DAP Johor ajak orang ramai jayakan program Bank Makanan untuk warga miskin

KLUANG, 12 JUN: Sempena bulan Ramadan, kerajaan diseru meningkatkan lagi jaringan kebajikan sosial bagi memberi bantuan kepada golongan memerlukan agar mereka tidak tercicir dari arus pembangunan perdana di negara ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Mengkibol, Tan Hong Pin berkata keadaan ekonomi yang merunsingkan, khususnya selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) menyebabkan sebahagian masyarakat terjerumus dalam kesempitan hidup.

Atas sebab itu, jelasnya, bantuan ekonomi dan sokongan sosial dari semua pihak, termasuk untuk jangka masa pendek adalah mustahak bagi memudahkan aktiviti seharian mereka.

Hong Pin sebelum ini melancarkan program Bank Makanan sejak April lalu yang bertujuan memupuk kesedaran masyarakat tentang kepentingan membantu golongan yang tersisih dari arus pembangunan negara.

Turut bersama beliau dalam lawatan program tersebut ialah Penolong Setiausaha Publisiti DAP Johor, Sheikh Omar Ali, Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kluang, Pua Meng Jiann dan para sukarelawan program Bank Makanan, Keristhina dan Azib.

“Sepanjang bulan Mei lalu, Bank Makanan telah mendapat sumbangan sebanyak 28 set bahan makanan. Golongan yang mendapat bantuan dalam tempoh itu termasuk keluarga berpendapatan rendah, ibu tunggal, keluarga orang kelainan upaya (OKU) dan warga emas.

“Barangan yang disumbangkan oleh Bank Makanan tidaklah sebesar mana, namun kami cuba membantu mereka sedaya-upaya dengan harapan apa yang kami lakukan itu dapat mengurangkan beban mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

“Sesiapa yang ingin memberi sumbangan menerusi program Bank Makanan ini disyorkan agar menyumbang mengikut kadar seperti berikut bagi memudahkan urusan pengagihan; beras 5kg, minyak masak 2kg dan makanan dalam tin.

“Pada masa yang sama, orang awam juga dialu-alukan melibatkan diri sebagai sukarelawan Bank Makanan,” katanya.

Sebarang pertanyaan tentang program tersebut boleh berhubung dengan pejabat ADUN Mengkibol di alamat 11A, Jalan Tong Teow Kee, Taman Lian Seng, 86000 Kluang atau melalui telefon di nombor 010-5171758 (Wira). – Roketkini.com