Berita

Hanya 5% perubahan sokongan untuk jatuhkan Umno dan Najib pada PRU14

KUALA KANGSAR, 13 JUN: Pilihanraya kecil parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar pada 18 Jun depan akan menentukan sama ada kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak masih diterima atau tidak di kalangan rakyat hari ini, kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang.

Beliau membidas kenyataan Naib Presiden UMNO, Hishammuddin Hussein yang mengatakan bahawa tindakan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyebut tentang Najib dalam ceramahnya di kedua-dua kawasan itu sebagai tidak relevan.

Kit Siang berkata, parlimen Kuala Kangsar dan Sungai Besar merupakan antara sepuluh kerusi yang paling tidak selamat dimenangi oleh UMNO dalam pilihanraya umum ke-13 yang lalu walaupun parti itu tidak pernah kalah di kedua-dua kawasan tersebut sejak merdeka.

Walau bagaimanapun, jelasnya, jika UMNO BN kalah di kedua-dua kerusi itu, ia mungkin menunjukkan satu trend bahawa UMNO BN akan mengalami kejatuhan sokongan pengundi sekurang-kurangnya lima peratus pada pilihanraya umum ke-14 akan datang.

“Jika sokongan pengundi UMNO BN jatuh walaupun untuk lima peratus, ia bermakna mereka akan memperoleh hanya 81 dari 222 kerusi parlimen dan harus meninggalkan Putrajaya buat kali pertama dalam sejarah negara.

“Bukankah ia membuktikan bahawa pilihanraya kecil ini relevan dengan nasib Najib pada pilihanraya umum akan datang?” katanya dalam satu kenyataan.

Tun Dr Mahathir kini giat berkempen untuk calon-calon Pakatan Harapan dari Parti Amanah Negara (Amanah) di Kuala Kangsar dan Sungai Besar selaras dengan usaha Deklarasi Rakyat menggesa peletakan jawatan Najib sebagai Perdana Menteri.

Dalam ceramahnya, mantan Perdana Menteri itu secara terbuka mengkritik kepimpinan Najib yang didakwanya sebagai membebankan rakyat serta tidak telus disebabkan pelbagai skandal melibatkan beliau yang didedahkan oleh agensi antarabangsa sebelum ini. – Roketkini.com