Berita

Jika DAP tunggang Amanah, saya tak perlu sibuk kempen – Tony Pua

SEKINCHAN, 14 JUN:  Tidak wujud politik ‘tunggang-menunggang’ dalam Pakatan Harapan (PH) seperti yang sering didakwa pihak lawan, sebaliknya setiap komponen PH saling memerlukan demi memastikan kemenangan calonnya yang bertanding.

Pengarah Pilihanraya DAP bagi pilihanraya kecil P.093 Sungai Besar, Tony Pua berkata, dakwaan tersebut ternyata salah memandangkan setiap komponen PH iaitu DAP dan PKR bekerja keras untuk memenangkan calon Amanah.

“Jika kita (DAP) tunggang Amanah, kenapa kita pun kerja juga?

“Saya tak perlu tinggal di sini dua minggu. Saya hanya boleh datang sini dan pulang. Kenapa calon Amanah yang bertanding, kita (DAP) sibuk?“ soalnya.

Menurut Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu, hanya dengan kerjasama erat di antara parti-parti dalam gabungan PH mampu menumbangkan BN dalam pilihanraya akan datangdan ini merupakan formula yang digeruni BN.

“Parti-parti dalam Pakatan Harapan saling memerlukan. Saya percaya kalau Amanah tak menang, DAP juga tak menang. Kita saling memerlukan,” katanya.

Dakwaan pihak lawan kononnya DAP mempergunakan Amanah demi agenda peribadinya  ternyata meleset kerana PH tidak mengamalkan konsep ‘siapa bos’ atau siapa ‘abang besar’.

Sebelum ini, Ketua Penerangan Amanah, Khalid Samad menegaskan PH berlandaskan prinsip “hujah yang tepat dan baik” melalui perbincangan untuk mencapai kata sepakat.

“Dalam Pakatan Harapan, tiada siapapun menjadi bos; yang berkuasa adalah hujah yang baik dan paling tepat,” tegas beliau. – Roketkini.com