Berita

Pakatan Harapan amal falsafah politik masyarakat majmuk

SEKINCHAN, 14 JUN: Ketua Setiausaha Sekreteriat Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, keterbukaan dan kesederhanaan yang ditonjolkan Parti Amanah Negara (Amanah) adalah selaras dengan aspirasi Pakatan Harapan yang mahukan wajah baru politik Malaysia berasaskan kepelbagaian kaum dan budaya.

Tidak seperti UMNO yang memperjuangkan kepentingan satu kaum, Saifuddin berkata, Amanah sebaliknya merupakan parti baru yang berlandaskan agama Islam dengan ahlinya yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama, selaras dengan ciri-ciri sosio-budaya yang ada dan diterapkan di negara ini.

“Mereka (Amanah) mahu politik yang sesuai dengan kebudayaan orang Malaysia, politik yang berasaskan kepada masyarakat majmuk.

“Ini adalah falsafah yang dipegang oleh Amanah, dan ini juga falsafah yang kami dalam Pakatan Harapan pegang,” katanya dalam satu sessi ceramah Pakatan Harapan di sini, malam semalam.

Membuat perbandingan Pakatan Harapan dan BN, beliau berkata, kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan adalah terdiri daripada DAP, Amanah, dan PKR, namun dalam BN jawatan ketua hanya dikawal oleh pemimpin UMNO.

“Tetapi, dalam Pakatan Harapan, bila kita bermesyuarat, kita bermesyuarat bergilir-gilir.

“(Dalam Pakatan Harapan) Keadilan tidak boleh jadi tuan rumah mesyuarat dua kali berturut-turut, DAP pun tak boleh, Amanah pun tak boleh,” katanya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kedudukan Barisan Nasional yang didakwa dikawal oleh kepimpinan serta pemuka-pemuka daripada UMNO, sekaligus seolah-olah meminggirkan peranan parti-parti kaum komponen BN yang lain.

Pentas ceramah berkenaan turut dikongsi Presiden Amanah, Mohamad Sabu, Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua dan pemimpin Pakatan Harapan yang lain. – Roketkini.com