Berita

Tangguhkan roboh setinggan di bulan mulia – DAP Sabah

SANDAKAN, 14 JUN: Pengerusi DAP Sabah Stephen Wong Tien Fatt merayu supaya Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) menangguhkan dahulu keputusan mereka untuk meroboh rumah setinggan di tiga buah kampung di sini pada saat umat Islam menyambut bulan Ramadan diikuti Hari Raya Aidilfitri.

Perobohan itu dijangka bakal melibatkan tiga buah kampung iaitu Kampung Cahaya Baru, Kampung Mangkalinau dan Kampung Muhibbah yang dijangka dirobohkan secara berperingkat sehingga hujung Jun ini.

Menurut Stephen, merobohkan rumah di saat penduduk menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri amat tidak wajar dan menyedihkan.

suratrayuan_

“Bulan Jun ini merupakan bulan Ramadan dan bulan berpuasa bagi warga Muslim. Jika pelaksanaan perobohan dijalankan di bulan Ramadan, maka ia akan menjejaskan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri warga setempat.

“Oleh yang demikian, pihak saya memohon jasa baik pihak MPS dan Datuk Presiden untuk mempertimbangkan semula supaya menangguhkan perobohan dan pemindahan penduduk setinggan di tiga kampung tersebut yang saya telah sebut sehingga masa yang sesuai,” kata Stephen dalam surat rayuannya.

MPS turut disoal sama ada penduduk yang menjadi mangsa perobohan itu akan mendapat  rumah yang disediakan oleh kerajaan untuk menempatkan mereka semula.

Surat rayuan yang dikemukakan sepuluh hari lalu kepada MPS masih belum menerima sebarang jawapan. – Roketkini.com