Berita

Akta MKN: Perdana Menteri ‘rampas’ kuasa Yang di-Pertuan Agong

SEKINCHAN, 14 JUN: Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) merupakan satu ancaman serius terhadap demokrasi dan sistem raja berperlembagaan di negara ini kerana ia membolehkan Perdana Menteri menyingkirkan kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong dalam mengisytiharkan darurat.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata tindakan kerajaan UMNO-BN telah mewartakan Akta itu sebagai undang-undang tanpa mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-raja bukan sahaja tidak menghormati, malah menghina baginda.

Sehubungan itu, jelasnya, kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz berhubung Akta MKN itu hanyalah untuk mengelak daripada menjawab isu tidak menghormati Raja-raja Melayu.

Nazri sebelum ini dilaporkan berkata tidak ada peruntukan undang-undang yang menyatakan sesuatu akta mesti dipinda jika Majlis Raja-raja tidak bersetuju.

Malah, beliau menambah, sebarang pindaan ke atas Akta MKN itu hanya boleh dilakukan pada sidang Parlimen akan datang dan dibentangkan sebagai rang undang-undang (RUU) baru.

Namun begitu, Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Gelang Patah mempersoalkan mengapa pindaan Akta MKN tidak dibentangkan oleh pihak kerajaan semasa sidang parlimen pada Mei lalu.

Jelasnya, perkara itu tidak mustahil memandangkan Majlis Raja-raja telah memulangkan kembali RUU MKN kepada Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali untuk diperhalusi sejak 17 Februari lepas.

Tambahnya lagi, Tan Sri Apandi Ali ketika itu berkata beliau akan mengkaji semula beberapa peruntukan dalam RUU berkenaan manakala Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata beliau akan mengambil maklum cadangan Majlis Raja-raja itu.

“Oleh itu, walaupun tidak ada peruntukan dalam undang-undang yang memberi kuasa kepada Majlis Raja-raja untuk mengarahkan kerajaan supaya ‘memperhalusi’ mana-mana RUU, adalah menjadi tanggungjawab Apandi dan Najib untuk menyakinkan rakyat bahawa kerajaan telah memberi pertimbangan sewajarnya terhadap cadangan Majlis Raja-raja itu.

“Jika memang benar mereka telah mengambil kira cadangan Majlis Raja-raja tersebut, mengapa pindaan terhadap Akta MKN itu tidak dibentangkan di parlimen pada sesi Mei lalu?” soalnya.

Akta MKN yang diwartakan baru-baru ini mendapat tentangan pelbagai pihak berikutan ia meningkatkan kuasa Perdana Menteri sehingga berhak menentukan hala tuju pentadbiran negeri selain boleh mengisytihar darurat tanpa perlu izin Yang di-Pertuan Agong. – Roketkini.com