Berita

‘Cina babi’: DAP tayang video bukti, Jamal Yunos digesa mohon maaf

*kredit foto Malaysiakini

SEKINCHAN, 14 JUN: DAP menggesa supaya Ketua Bahagian UMNO Sungai Besar, Datuk Jamal Yunos memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya kaum Cina setelah dibuktikan mengeluarkan kenyataan kesat dan berbaur perkauman.

Dalam sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat DAP Sekinchan di sini hari ini, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua menyahut cabaran Jamal untuk mengemukakan bukti dan menayangkan dua klip video.

Video pertama memaparkan beberapa peserta Perhimpunan Baju Merah di ibu negara mengeluarkan kata-kata ‘Cina babi’ terhadap kaum itu, malah membuat provokasi melampau dengan menggesa supaya kaum itu ‘balik tongsan’.

Video kedua pula adalah sidang media yang dilakukan sehari selepas perhimpunan itu diadakan, di mana Jamal menyifatkan bahawa kenyataan ‘Cina babi’ bukan satu kesalahan.video tony

Dalam perkembangan berkaitan, Tony yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara menafikan bahawa DAP cuba memainkan isu perkauman kerana kononnya isu nasional seperti skandal kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) tidak relevan dalam pilihanraya kecil kali ini seperti yang didakwa sesetengah pihak.

“Sebaliknya, kita (Pakatan Harapan) menggunakan pendekatan anti-perkauman, di mana kita minta supaya rakyat sokong parti yang tidak rasis.

“Kita melawan prinsip rasisme yang dimainkan pemimpin UMNO.

“Soal sama ada isu 1MDB memberi kesan atau tidak, biar pengundi yang tentukan,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan para pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang tinggal di luar kawasan supaya pulang mengundi bagi memberikan mesej penolakan rakyat terhadap BN dengan jelas. – Roketkini.com