Berita

DAP Johor minta pendapat rakyat sebelum kemuka belanjawan negeri alternatif

JOHOR BAHRU, 15 JUN: DAP Johor akan memulakan kajian untuk menghasilkan belanjawan alternatif mesra rakyat bagi tahun 2017 sesuai peranan parti itu sebagai pembangkang yang bertanggungjawab.

Sehubungan itu, Jawatankuasa Belanjawan Alternatif yang dibentuk pada 29 Mei lalu telah memutuskan untuk menjalankan kaji selidik bagi mendapatkan maklum balas orang ramai tentang bagaimana wang cukai perlu dibelanjakan bagi memperbaiki kehidupan rakyat Johor.

Jawatankuasa tersebut diketuai oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bentayan, Chua Wee Beng dan dianggotai Adun Senai, Wong Shu Qi dan Pengarah Pendidikan Politik DAP Johor, Mahdzir Ibrahim.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menjelaskan bahawa isu-isu yang akan ditangani oleh jawatankuasa itu tertumpu kepada kelestarian alam sekitar, kualiti hidup dalam pembangunan yang pesat, mewujudkan peluang pekerjaan serta pengagihan kekayaan yang adil dan berkesan.

“Walaupun kerajaan negeri mempunyai polisi ekonomi yang terhad di peringkat makro, kami berpendapat ia mempunyai sumber kewangan mencukupi dan keupayaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang mampu mengatasi masalah asas rakyat.

“Sebagai contoh, kerajaan Johor telah mengikuti jejak kerajaan Pulau Pinang dan Selangor dalam melaksanakan perkhidmatan bas percuma, justeru ia satu langkah yang baik untuk kerajaan UMNO belajar dari Pakatan Harapan,” kata mereka.

Malah, mereka sebulat suara berpendapat, sebagai pembangkang yang bertanggungjawab, DAP memainkan dua peranan penting, iaitu menawarkan pilihan alternatif sebagai kerajaan yang akan datang serta menyediakan kritikan membina bagi penambahbaikan dalam persaingan idea.

“Kami berharap usaha ini merupakan satu permulaan politik yang sihat di Malaysia di mana kedua-dua parti pemerintah dan pembangkang boleh menyumbang ke arah urus tadbir yang lebih baik,” ujar mereka. – Roketkini.com