Berita

Alang-alang turun Sungai Besar, Arul Kanda dijemput berucap di ceramah Pakatan Harapan

SUNGAI BESAR, 15 JUN: Presiden 1MDB, Arul Kanda Kandasamy sanggup turun ‘berkempen’ untuk Barisan Nasional tetapi memberi seribu alasan semasa menarik balik persetujuan untuk berdebat secara terbuka mengenai skandal kewangan syarikat bermasalah itu.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata, Arul Kanda sebelum ini menarik diri dari sesi debat berkenaan dengan alasan mahu memberi tumpuan membantu siasatan pihak berkuasa bagi menyelesaikan masalah 1MDB dengan syarikat International Petroleum Investment Corporation (IPIC).

Namun, Arul Kanda seolah-olah mempunyai banyak masa terluang sehingga mampu turun ke Sungai Besar semata-mata untuk menjadi tetamu jemputan ceramah.

“Adakah penyiasatan dan masalah dengan IPIC yang melibatkan wang sebanyak AS$6.5 bilion itu sudah selesai?

“Takkanlah Arul Kanda mempunyai begitu banyak masa terluang sehingga mampu turun ke Sungai Besar dan meninggalkan kerja-kerja lebih penting setelah IPIC menyaman 1MDB selain terlibat dalam siasatan dalam dan luar negara?” soalnya dalam satu kenyataan.

Arul Kanda dilaporkan berada di Sungai Besar hari ini bagi menjelaskan kepada penduduk mengenai kontroversi yang membabitkan 1MDB yang baru semalam dilaporkan menerima saman arbitrasi daripada IPIC dan Aabar Investment PJS untuk amaun berjumlah AS$6.5 bilion.

Beliau dilaporkan berceramah di program Wacana Isu Semasa Negara, bersama penjawat awam yang diadakan di Sekolah Menengah Agama Pasir Panjang, Sekinchan.

Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP kemudiannya menjemput Arul Kanda memberi penjelasan berhubung isu 1MDB kepada pengundi Sungai Besar di mana-mana ceramah anjuran Pakatan Harapan.

“Jika Arul Kanda boleh bersenang-senang makan angin di Sekinchan dan membantu jentera kempen Barisan Nasional, saya ingin menjemput beliau untuk memberi penjelasan tentang 1MDB di ceramah Pakatan Harapan malam ini atau malam esok.

“Saya percaya orang awam yang sekarang cukup kecewa dan marah dengan kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak amat mengalu-alukan penjelasan dari beliau mengenai skandal gergasi itu,” katanya. – Roketkini.com