Rencana

Untung atau cari makan?: Suatu petang di pasar Ramadan Kuala Kangsar

Semua parti yang bertanding dalam Pilihanraya Kecil di Kuala Kangsar rancak berkempen. Saya kira, mungkin dalam bulan puasa, jentera kempen kurang rancak, ternyata telahan saya tidak betul. Meski puasa, kempen rancak berjalan, malah lebih ‘mengancam’.

Dalam banyak-banyak benda yang ‘mengancam’ di Kuala Kangsar, yang terancam ialah iman saya ketika menatap aneka jenis lauk pauk, kuih muih dan segala jenis makanan di Arena Kuala Kangsar – sebuah pasar Ramadan yang merupakan dewan berbumbung yang terletak di tepi Sungai Perak.

Saya bertemu Pak Long semasa dia sedang dikerumuni empat jururawat yang mungkin sudah habis syif. Dia sedang potong ayam. Ayam yang dipotong itu dimasukkan ke dalam bekas yang sudah disusun bertiga-tiga atas meja.

“Banyaknya Pak Long,” tegur saya spontan.

Orang tua dalam lingkungan pertengahan 60-an itu mengangkat wajahnya sambil senyum. Saya terkejut sebab nasi dan ayam yang dijual murah iaitu RM4.00 jika dibanding dengan kuantitinya yang banyak.

Menurut Pak Long, harga itu terus dikekalkan sebagaimana harga tahun-tahun yang lepas sebab pelanggan sudah biasa dengan harga tersebut.

“Pak Long jual empat ringgit, barang-barang (bahan) tak naik ke?” soal saya. Ketika itu, kakak-kakak berpakaian jururawat sudahpun pergi dengan nasi ayam sebungkus seorang. Menurut Pak Long, harga bahan mentah memang naik. Hanya dia yang tidak mahu naikkan harga nasi ayam yang dijualnya. “Susah nak letak sen-sen ni” katanya.

“Yang nak naik lagi polisterin…” tiba-tiba perbualan disampuk seorang lelaki muda yang saya agak, dia pekerja Pak Long, atau anak buahnya. Tidak sempat lama saya berbual dengan Pak Long, tapi pekerjanya itu ada berpesan yang Pak Long berniaga di sekian-sekian tempat pada hari biasa.

Saya kagum dengan semangat yang terpancar pada kudrat Pak Long yang nampak sungguh-sungguh layan pelanggan. Walaupun terpaksa kurangkan keuntungan dengan kekalkan harga nasi ayam yang dijualnya, dia kekalkan harga lama.

Arena mula dipenuhi pengunjung, sudah jam 4.30 petang. Cuaca di Kuala Kangsar pada hari itu memang sungguh-sungguh menguji. Saya berpusing-pusing dalam Arena dan terhenti pula di sebuah gerai yang menggamit ingatan saya kepada arwah nenda.

Saya tercuit dengan ingatan-ingatan ini. Hampir bergenang mata saya teringatkan arwah nenda. Saya menghela nafas. Saya sudahpun tercegat depan Kak Ani mengukir senyum.

Kak Ani mengambil komisyen menjual kuih seperti kebanyakan penjual kuih yang lain. Namun, apa yang menarik di gerai Kak Ani ialah lepat pisang.

Saya tidak perlu tahu kenapa, Ramadan sering mengembalikan ingatan-ingatan saya kepada arwah nenda. Memori saya mengundur 25 tahun ke belakang. Kuih lepat mengingatkan saya kepada arwah nenda yang sering membuatnya terutama pada hujung minggu.

“Murahnya kak…” kata saya memerhati tanda harga tiga seringgit yang diletak di samping lepat.

“Bolehlah dik, adalah dapat (untung) sikit-sikit,” dia membetulkan sedikit anak tudungnya.

Tidak dapat dinafi, setelah kerajaan melaksanakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak enam peratus, bahan-bahan keperluan untuk membuat kuih turut terkesan. Akibatnya, saiz kuih terpaksa dikecilkan. Tetapi, di Kuala Lumpur, payah untuk bertemu dengan kuih yang masih dijual dengan harga lama.

Kata Kak Ani, sebagai peniaga, dia tidak mampu berbuat apapun jika kerajaan mahu menaikkan harga barang.

Saya pura-pura faham, mengangguk. Kemudian saya nyatakan kembali yang dia boleh membantah kenaikan itu dengan mengundi selain parti kerajaan sebagai tanda protes.

Kak Ani tersenyum menampakkan gigi. Saya tidak tahu sama ada Kak Ani cuba mengubah haluan perbualan kami atau apa bila dia mengadu tentang kenaikan yang mendadak tinggi untuk ubi keledek.

“Paling naik adik tahu apa?”

“Ubi keledek! Dulu sekilo RM1.60, sekarang dah jadi RM3.00. Tapi akak kena jual jugaklah macam kuih ni,” ujarnya menunjukkan cokodok keledek.

Dalam banyak-banyak kuih itu, saya hanya beli lepat. Ya. Lepat yang mengembalikan ingatan saya kepada arwah nenda. Saya serahkan tiga ringgit kepada Kak Ani, saya dapat sembilan biji lepat. Saya amat berpuas hati.

“Terima kasih kak…” kata saya dan pergi.

Saya kurang periksa, apa dan siapa pilihan hati Pak Long dan Kak Ani untuk Pilihanraya Kecil yang akan berlangsung 18 Jun ini. Adakah mereka akan keluar mengundi, atau sebaliknya. Atau mereka berfikir, parti kerajaan atau pembangkang, kedua-dua sama sahaja. Itu saya tidak pasti. Namun yang pasti, mereka terpaksa mengurangkan keuntungan, untuk terus menjalani kehidupan sebagai penjual nasi ayam dan saudagar kuih kecil-kecilan. –Roketkini.com