Berita

Pakatan Harapan ikrar selesai masalah nelayan Sungai Besar

SEKINCHAN, 15 JUN: Kebajikan nelayan di kawasan Sungai Besar bakal terbela dan diberi keutamaan jika pengundi memilih calon Amanah, Azhar Abdul Shukur sebagai Ahli Parlimen pada hari mengundi PRK Sungai Besar 18 Jun nanti.

Dalam sesi dialognya dengan wakil-wakil dari Persatuan Nelayan Hai San, Azhar berikrar akan bersungguh-sungguh membela kebajikan nelayan di kawasan ini yang telah lama diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional, termasuk menyelesaikan isu ancaman nelayan luar di samping masalah kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Masalah nelayan dan pengusaha industri perikanan di Sungai Besar adalah masalah ekonomi yang perlu diberi tumpuan oleh pihak pemerintah,” katanya.

Menurutnya, beliau amat memahami masalah dan kesukaran yang dihadapi nelayan di sini seperti yang dihadapi oleh nelayan Lesen B dan C termasuklah isu pekerja asing dan keselamatan nelayan.

Melahirkan rasa hairan, beliau berkata walaupun kawasan parlimen zon perikanan pantai barat – Kuala Selangor, Tanjong Karang, Sungai Besar dan Bagan Datoh dikuasai oleh BN sejak Malaysia mencapai kemerdekaan, masalah tersebut langsung tidak diselesaikan BN.

“Beberapa hari yang lepas, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah memberikan janji bahawa nelayan boleh mengambil pekerja asing dengan surat permohonan kepadanya melalui Ketua Bahagian UMNO – Datuk Jamal Yunos.

“Saya percaya dasar sepenting ini yang mengaitkan kehidupan semua nelayan seluruh Malaysia tidak boleh diuruskan secara ikut sesuka hati.

“Apatah lagi melalui seorang yang tiada kaitan dengan Kementerian langsung. Sebaliknya, Kementerian Dalam Negeri perlu meminda dasar-dasar yang sedia ada secara rasmi supaya segala masyarakat nelayan akan dilayan dengan adil dan telus,” gesa beliau. – Roketkini.com