Berita

Melayu diseru jangan tertipu, fokus salahlaku pentadbiran Najib

SUNGAI BESAR, 15 JUN: Pengundi Melayu diingat supaya tidak terpedaya dengan dakyah jahat UMNO-Barisan Nasional yang menuduh DAP kononnya mahu mengambil alih kerajaan.

Ketakutan itu hanya dicipta untuk menakutkan orang Melayu dan mengalih perhatian rakyat terhadap keadaan kritikal isu rasuah dan penyelewengan melampau di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menyanggah dakyah BN itu, Ahli Parlimen Raub Datuk Ariff Sabri berkata DAP sendiri tidak akan mampu mentadbir negara tanpa muafakat dalam Pakatan Harapan.

“DAP ada 37 kerusi parlimen sahaja. Kalau misalnya ada 50 kerusi sekalipun. DAP takkan mampu tadbir sendirian.

“Kita tak boleh tubuh kerajaan tanpa muafakat dengan parti-parti lain. Ini prinsip yang kita kena pakai dalam Pakatan Harapan,” ujar Ariff dalam ceramahnya di sini malam tadi.

Menjelaskan perkara berkenaan, Ahli Jawatankuasa DAP Pahang itu berkata DAP memahami realiti politik Malaysia yang mempunyai majoriti orang Melayu.

Fakta ini sekaligus menempelak ketakutan yang dijaja UMNO-BN itu yang dilihatnya sebagai cuba memperbodohkan rakyat.

“Jangan nak lari dari masalah utama. Kita sekarang berhadapan dengan bagaimana kantung wang negara pergi. Adakah kita mahu negara kita ditadbir orang sebegini?” soalnya.

Dalam masa yang sama, Ariff turut menegur sikap Najib yang dilihat berpura-pura prihatin terhadap rakyat.

“Dia cakap tak serupa bikin. Dia gagal tarbiah diri tapi bagi nasihat kepada orang supaya buat baik.

“Walaupun 1MDB ini satu isu sahaja. Tapi kesalahannya banyak, ‘dosa besar’ dan kita melihat pembohongan demi pembohongan dilakukan,” kata beliau.

Justeru, untuk menghentikan semua kejahatan yang dilakukan, rakyat di Sungai Besar dan Kuala Kangsar harus membuat keputusan untuk menghantar mesej yang jelas kepada Najib.

“Kita perlu hantar orang yang berani bersuara. Kita kena hantar ‘harimau’ ke parlimen!” tegasnya meminta pengundi di sini memilih calon Amanah mewakili Pakatan Harapan,  Azhar Abdul Shukor pada hari mengundi 18 Jun hadapan. – Roketkini.com