Berita

Bom 1MDB lebih bahaya berbanding ‘bom’ Rafizi

KUALA LUMPUR, 15 JUN: Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng mengecam keras tindakan kerajaan memulakan siasatan terhadap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli susulan gurauan bom atom dalam ceramahnya baru-baru ini.

“Hanya kerajaan yang bodoh dan pihak polis yang bengap akan merasa bimbang dengan belon kuning, karikatur badut dan metafora ‘bom’ yang digunakan dalam ceramah politik.

“Kenapa begitu pantang sekali dengan satira politik, walhal pihak-pihak tertentu boleh sahaja selamba melemparkan ugutan bermandi darah dan menghunus keris dalam perhimpunan besar-besaran tanpa sebarang tindakan?” soalnya secara sinis dalam satu kenyataan.

Rafizi dilaporkan berkata beliau berharap calon Pakatan Harapan, Dr Ahmad Termizi Ramli yang merupakan seorang pakar fizik nuklear akan ‘membaling bom atom’ kepada Datuk Seri Najib Razak jika menang dalam pilihanraya kecil parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun ini.

Ahli Parlimen Pandan itu kemudian menjelaskan bahawa kenyataan itu hanyalah satu gurauan ketika berdepan dengan ‘kegilaan politik Malaysia.’

Menurut Lip Eng, ‘bom jangka’ yang lebih besar ialah syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Apabila bom 1MDB meletup, rakyat biasalah yang akan merana, sementara isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansur kemungkinan besar selamat berangkat ke luar negara menuju hartanah bernilai jutaan ringgit milik anak tiri Najib dengan lebih 20 beg besar menaiki jet peribadi.

“Perdana Menteri yang mempunyai akal fikiran yang sihat akan meletakkan jawatan ekoran bom yang satu ini. Kerajaan yang bertanggungjawab akan memberitahu rakyat bagaimana kerajaan merancang untuk mematikan bom jangka ini,” katanya. – Roketkini.com