Berita

Pengundi mesti tolak BN tanda bantah kenaikan kadar tol

KUALA LUMPUR, 14 JUN: Pengundi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar digesa untuk membantah kenaikan kadar tol yang melibatkan 12 lebuh raya di negara ini dengan menafikan kemenangan BN dalam kedua-dua pilihanraya kecil pada 18 Jun nanti.

Hakikat bahawa BN boleh mempertimbangkan kenaikan kadar tol di lapan lebuhraya pada tahun ini dan empat lagi lebuhraya pada tahun depan walaupun pilihanraya semakin hampir menunjukkan bahawa parti itu sanggup mengorbankan rakyat demi kepentingan kroni.

“Jika rakyat tidak mahukan peningkatan kadar tol ini, maka mereka harus menyampaikan mesej yang tegas dengan menolak BN dalam  kedua-dua pilihanraya kecil tersebut,” kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam satu kenyataan.

Tujuh daripada 12 lebuhraya yang akan mengalami kenaikan kadar tol adalah di Selangor, justeru menunjukkan bagaimana pengundi Sungai Besar memainkan peranan penting dalam membantah peningkatan kadar tol yang tidak adil dan tanpa justifikasi itu.

Pada masa sama, Guan Eng menyatakan rasa kesal dengan keengganan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof mendedahkan secara terbuka butiran sama ada kadar tol di lapan lebuhraya akan dinaikkan tahun ini, dengan empat lagi dijadual akan dinaikkan tahun hadapan.

Lapan lebuhraya tersebut adalah PLUS, Linkedua, Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Elite, Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Butterworth-Kulim (BKE), Lebuhraya Seremban-Port Dickson (SPDH) dan Lebuhraya Pintas Selat Klang Utara Baru (NNKSB).

BN jaga kepentingan kroni

Ahli Parlimen Bagan tersebut turut melahirkan kebimbangannya berhubung jumlah pampasan yang dibayar oleh kerajaan kepada syarikat konsesi tol, iaitu sekurang-kurangnya RM1 bilion jika kadar tol tidak dinaikkan lewat lahun ini.

Katanya, Fadillah menyatakan sejak 2008 sehingga 2014, kerajaan telah membayar lebih daripada RM2.2 bilion pampasan kepada syarikat konsesi sebagai ganti untuk tidak menaikkan kadar tol.

Jumlah pampasan yang diterima oleh syarikat tol termasuklah RM214 juta untuk PLUS, RM8.24 juta untuk Linkedua, RM79.44 juta untuk Elite, RM3.11 juta untuk BKE, RM1.95 juta untuk SPDH, RM92.8 juta untuk KESAS, RM7.8 juta untuk NNKSB dan RM185.9 juta untuk LDP.

“Kesemuanya berjumlah RM5.95 juta, iaitu melebihi amaun yang telah diasingkan oleh kerajaan sebagai pampasan kepada syarikat konsesi tol.

“Lebih teruk lagi, ada empat lebuhraya yang dijadual akan dinaikkan kadar tolnya pada tahun hadapan, iaitu Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), Lebuhraya Senai-Desaru (SDE) dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL),” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu menjelaskan, isu kenaikan tol membuktikan perbezaan utama antara BN dengan Pakatan Harapan kerana BN mahu mengekalkan malah menaikkan kadar tol, sedangkan Pakatan Harapan mahu memansuhkan tol Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS).

Tahun lalu, sejumlah 18 lebuhraya mengalami kenaikan kadar tol, termasuk AKLEH, Besraya, DUKE, Grand Saga, GCE, Kajang SILK, Karak, LATAR, LEKAS, LKS, MEX, NPE, terowong SMART, SDE, SKVE, Butterworth Outer Ring Road, Lebuhraya Sprint dan LDP. – Roketkini.com