Berita

Dakwaan anti-Islam: Tak perlu buku, dedah bukti satu sehari pun boleh – Kit Siang

SEKINCHAN, 14 JUN: Menteri  Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ismail Sabri dicabar mendedahkan satu persatu setiap hari sehingga hari mengundi apa yang didakwanya ucapan anti-Melayu dan anti-Islam oleh Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang.

Cabaran yang dilontarkan oleh Kit Siang sendiri itu dibuat setelah menteri UMNO terbabit semalam beriya-iya mahu membukukan segala ucapan Ahli Parlimen Gelang Patah itu yang kononnya anti-Melayu dan anti-Islam.

“Nak buat buku kita boleh tunggu. Tapi beliau sepatutnya sudah boleh berikan satu contoh bermula semalam sehingga hari mengundi pada 18 Jun ini ataupun lima contoh kononnya saya anti-Melayu dan anti-Islam sepanjang penglibatan 50 tahun saya dalam politik,” kata Kit Siang dalam sidang media di sini pagi tadi.

Menurut beliau, Ismail berhutang penjelasan dengannya dan masih menuntut menteri itu memberikan sekurang-kurangnya satu contoh setiap hari.

Ismail sebelum ini dilapor media menyahut cabaran Lim Kit Siang untuk mendedahkan satu peristiwa sepanjang penglibatannya dalam politik selama 50 tahun yang dapat mengaitkannya sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Jika Ismail gagal, beliau mahu menteri terbabit dan seluruh kepimpinan UMNO menghentikan tohmahan jahat terhadap dirinya yang sering diberi gambaran negatif sebagai anti-Melayu dan anti-Islam terutamanya dakwaan semberono dalam insiden 13 Mei 1969 yang ternyata bohong belaka.

“Saya juga dituduh menjadi penyebab kepada rusuhan 13 Mei 1969 di Kuala Lumpur kononnya terlibat dalam perarakan di jalan-jalan di Kuala Lumpur sambil melaungkan slogan dan provokasi anti-Melayu, malahan tuduhan melampau kononnya kencing di halaman rumah Menteri Besar Selangor ketika itu, Datuk Harun Idris ketika itu di Kampung Baru.

“Namun, saya tidak berada di Kuala Lumpur semasa insiden 13 Mei tersebut kerana saya harus ke Kota Kinabalu pada awal pagi 13 Mei untuk membantu kempen pilihanraya Sabah dan Sarawak, dan hanya mengetahui tentang kejadian tragik di Kuala Lumpur semasa saya dibisikkan dengan berita mengejutkan itu ketika sedang berucap di perhimpunan awam besar-besaran di ibu kota Sabah,” jelas Kit Siang dalam kenyataannya semalam. – Roketkini.com