Rencana

Arul Kanda di Sungai Besar bukti kerajaan BN takut isu 1MDB

Penampilan tidak dijangka Presiden merangkap Pengarah Eksekutif 1MDB, Arul Kanda di Sungai Besar merupakan pengakuan tiga serangkai oleh pihak UMNO/Barisan Nasional – kesan Persidangan Khas Skandal 1MDB dan Derma RM4.2 bilion di Sekinchan Sabtu lalu yang dirasmikan oleh mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad, kekurangan dan kehilangan kredibiliti penjelasan kerajaan berhubung skandal antarabangsa 1MDB, serta kesan 1MDB terhadap pilihanraya kecil Sabtu ini.

Kehadiran Presiden merangkap Pengarah Eksekutif 1MDB Arul Kanda di Sungai Besar menunjukkan bahawa tugas Arul Kanda adalah lebih kepada menjadi pegawai perhubungan awam berbanding menyelesaikan skandal kewangan global itu, terutama apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri yang sedang duduk di atas timbunan hutang dan masalah 1MDB sejak permulaan dana tersebut kira-kira tujuh tahun lalu.

Mengapa Arul Kanda bersikap seperti ‘pencuri yang cuba menyembunyikan sesuatu’ dengan tidak mahu menjawab soalan yang ditanya oleh pihak media sama ada beliau sedang berkempen untuk UMNO Barisan Nasional di pilihanraya kecil Sungai Besar, apabila tugas beliau adalah untuk menyelesaikan skandal kewangan global Malaysia yang terburuk dalam sejarah negara?

Memandangkan 1MDB adalah 100% syarikat kerajaan, Arul Kanda akhirnya dibayar menggunakan wang cukai rakyat dan tidak lebih dari seorang penjawat awam.

Oleh itu, beliau sepatutnya menunjukkan kesetiaan dan komitmen kepada 30 juta rakyat Malaysia dan bukan hanya kepada bekas majikannya – 1MDB, Kementerian Kewangan dan Perdana Menteri sendiri.

Bolehkah kita mengharapkan Arul memberi kenyataan yang telus dan lengkap mengenai masalah sebenar 1MDB kepada 30 juta rakyat Malaysia yang juga majikan terpenting beliau, dan bagaimana dana negara yang kononnya ‘strategik’ berakhir dengan satu tragedi yang mengheret negara ke arah hutang yang berlanjutan serta masalah dan beban ekonomi?

Setakat ini, kerajaan UMNO Barisan Nasional dengan bantuan penuh Arul Kanda, telah cuba mengelak daripada bertanggungjawab terhadap skandal kewangan antarabangsa negara yang pertama itu, malah menyangka bahawa ia boleh melepaskan diri dari ‘jenayah terkejam dalam sejarah Malaysia tetapi tanpa penjenayah itu’ – meraih kemenangan besar bukan sahaja pada pilihanraya negeri Sarawak baru-baru ini, tetapi juga dalam pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar Sabtu ini.

Jika pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar menyampaikan satu mesej jelas dan jitu yang bukan sahaja didengari oleh seluruh negara tetapi juga seluruh dunia dengan menolak calon-calon UMNO Barisan Nasional pada hari Sabtu ini, Perdana Menteri dan UMNO Barisan Nasional akan mendapat ‘kejutan elektrik’ yang juga berfungsi sebagai satu seruan agar mereka memberi akauntabiliti penuh dan memuaskan terhadap skandal global 1MDB, atau mereka harus menjangkakan akan diusir dari Putrajaya pada pilihanraya umum ke-14 yang akan tiba kurang dari 24 bulan lagi!

*Lim Kit Siang merupakan Ketua Parlimen DAP merangkap Ahli Parlimen Gelang Patah