Berita

Bahan kempen dimusnahkan, Pakatan Harapan seru pengundi tolak politik samseng

KUALA KANGSAR, 16 JUN: Pakatan Harapan menyeru semua pengundi untuk menolak budaya samseng oleh pihak tidak bertanggungjawab yang berkali-kali merosakkan papan iklan Parti Amanah Negara (Amanah) sepanjang kempen pilihanraya kecil di sini.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming berkata, sejak minggu lalu lebih 10 papan iklan Amanah telah dimusnahkan oleh pihak lawan di kawasan Kuala Kangsar.

Papan iklan yang tertera ‘Di mana 4.2 bilion’, ‘Tolak GST, Tolak BN’ serta ‘BN rasuah, rakyat susah’ telah dimusnahkan hanya beberapa jam selepas ia dipasang walaupun mendapat kelulusan kerajaan tempatan dan bayaran permit telah dibuat.

“Kami (Pakatan Harapan) meminta semua pengundi menolak perbuatan jahat dilakukan pihak tidak bertanggungjawab ini dengan mengundi Amanah.

“Kami juga menggesa pihak polis dan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) mengambil tindakan tegas ke atas perbuatan yang melanggar undang-undang berkenaan supaya pilihanraya dapat diadakan secara bersih dan adil,” jelasnya yang juga Pengerusi DAP Perak.

Situasi sama turut berlaku di Sungai Besar, apabila 10 papan tanda yang dipasang oleh Pakatan Harapan di situ telah dikoyak dan disimbah dengan cat.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua, Adun Sekinchan Ng Suee Lim serta Adun Balakong Eddie Ng Tien Chee semalam menunjukkan kesemua bahan kempen Pakatan Harapan yang telah musnah kepada pengamal media.

“Saya berpendapat ada dua kumpulan yang membuat perkara tak bertanggungjawab ini, memandangkan ia seperti satu operasi yang tersusun dan sistematik. Cuba bayangkan, sehingga pukul 2 pagi, papan-papan tanda itu masih belum diusik,” ujar Suee Lim.

Kuala Kangsar dan Sungai Besar bakal membuang undi serentak pada hari Sabtu ini.

Dua kerusi Parlimen itu kosong setelah Ahli Parlimen Sungai Besar, Tan Sri Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, meninggal dunia dalam tragedi malang nahas helikopter di kawasan Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lalu. – Roketkini.com