Berita

UMNO hanya selesaikan isu tempatan ketika tiba pilihanraya

SUNGAI BESAR, 17 JUN: Pengundi Sungai Besar dan Kuala Kangsar diminta supaya berhati-hati dengan janji manis yang ditabur UMNO-Barisan Nasional ketika setiap kali pilihanraya diadakan.

Adun Kampung Tunku, Lau Weng San menarik perhatian pengundi terhadap tahap ketelusan UMNO-BN dalam membantu pembebasan dua nelayan dari Sekinchan yang ditangkap pihak berkuasa maritim republik Indonesia yang dibuat sewaktu kempen pilihanraya kecil di sini sedang berlangsung.

“Kalau bukan kerana PRK yang sedang berlangsung sekarang, saya kira isu-isu ini tidak akan diselesaikan,” katanya dalam sidang media Pakatan Harapan di sini, semalam.

Malah katanya, itu bukanlah kali pertama UMNO-BN mengambil kesempatan ke atas isu-isu setempat demi kepentingan mereka untuk meraih sokongan dalam pilihanraya. Menurut beliau perkara yang sama telah dilakukan parti pemerintah itu sewaktu pilihanraya umum Sarawak diadakan beberapa bulan lalu.

“Isu empat orang rakyat Sarawak yang diculik di luar perairan Sabah berlaku pada April yang kebetulan sama dengan PRN Sarawak.

“Tetapi kita kena ingat, jika tidak ada PRN Sarawak, isu ini berkemungkinan tidak akan diselesaikan,” katanya.

Sehubungan itu, Weng San yang juga Penolong Bendahari DAP Selangor menyeru supaya pengundi di kedua-dua kawasan supaya menolak calon UMNO-BN, Budiman Mohd Zohdi yang didakwa akan menjadi ‘pak turut’ terhadap dasar yang dilaksanakan kerajaan parti pemerintah itu – Roketkini.com