Berita

Percanggahan dalam isu tebusan RM12 juta, Ketua Polis wajar dipecat

KUALA LUMPUR, 19 JUN: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar digesa bertanggungjawab atas percanggahan maklumat yang berlaku antara pihak polis dan keluarga empat rakyat Malaysia yang diculik di selatan Filipina.

Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, berkata jika Khalid menafikan dari awal bahawa polis telah menerima apa-apa wang tebusan dari keluarga mangsa, perkara itu pasti tidak akan menimbulkan kecelaruan hari ini.

“Khalid tidak pernah belajar untuk menutup mulut tempayannya. Sepatutnya, beliau tidak memberi apa-apa komen apabila ditanya media tentang pembayaran wang tebusan itu.

“Malangnya, tindakan Khalid cuba mempolitikkan isu tebusan RM12 juta dengan menyalahkan pihak pembangkang kerana kononnya menghangatkan isu tersebut memakan tuan apabila kini ada pihak menganggap polis terlibat dengan pihak penculik,” katanya.

Sebelum ini, keluarga empat kelasi Sarawak yang diculik oleh kumpulan militan Abu Sayyaf pada 1 April lalu mendakwa mereka telah menyerahkan kesemua wang yang dikumpul sebanyak RM12 juta bagi pembebasan mangsa culik kepada polis Cawangan Khas di Sandakan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan bahawa wang tebusan RM12 juta berkenaan tidak diserahkan kepada kumpulan militan Abu Sayyaf, sebaliknya kepada badan Islam di Filipina melalui pihak polis.

Kenyataan berkenaan dibuat selepas keluarga mangsa menuntut penjelasan selepas mereka yang menyumbang mahu mengetahui apa yang berlaku terhadap wang tersebut.

Namun, Ketua Polis Negara kemudiannya mencelarukan lagi keadaan dengan mengatakan bahawa polis langsung tidak tahu-menahu berkenaan wang tebusan yang dibayar oleh keluarga mangsa yang dikatakan diberi kepada cawangan polis di Sandakan itu.

Menurut Lip Eng lagi, kabinet wajar memecat Khalid kerana kegagalan beliau memberi penjelasan yang memuaskan hati keluarga mangsa dan penderma wang tebusan telah memalukan pasukan polis dan negara di mata dunia.

“Jika beliau tidak diambil tindakan, saya akan membuat laporan kepada Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan supaya menyiasat kelulusan transaksi wang yang begitu besar jumlahnya dan maklumat lanjut berhubung pembayaran wang tebusan itu,” katanya. – Roketkini.com