Berita

Pembangkang di kedudukan paling lemah, tetapi jangan putus asa – Chin Tong

KLUANG, 20 JUN: Pakatan pembangkang dilihat berada di kedudukan paling lemah sejak tsunami politik 2008, pasca Pilihanraya Kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang baru berakhir Sabtu lalu.

Ini diakui Pengarah Pendidikan Politik DAP, Liew Chin Tong sambil menambah bahawa negara berada di persimpangan, dengan kemungkinan untuk ditewaskan ‘Orde Lama’ sekiranya pakatan pembangkang tidak bangkit dengan idea-idea politik dan ekonomi yang baru.

“Tidak pernah senang menjadi pembangkang di Malaysia. Demokrasi sedia ada tidak adil mahupun bebas, dan lapangan perlawanannya tidak sekata,” ujar Ahli Parlimen Kluang itu dalam satu kenyataan.

“Namun kita harus memilih sama ada mahu mengalah dengan realiti yang ditakrifkan oleh ‘Orde Lama’ atau mengemukakan alternatif yang jelas untuk menangani dua cabaran utama iaitu kawasan semi-urban dan luar bandar, serta jurang perkauman dan agama,” jelasnya.

Menurut beliau UMNO BN telah bekerja keras sejak Pilihanraya Umum 2008 untuk memburuk-burukkan DAP bagi menghalang sebarang sokongan daripada pengundi Melayu.

Katanya, cabaran bagi DAP dan parti-parti Pakatan Harapan adalah untuk mengetengahkan agenda yang boleh menyatukan semua rakyat Malaysia dengan tujuan yang sama.

“Tidak ada jalan pintas,” tegasnya mengulas panjang impak kekalahan di kedua-dua kawasan Sungai Besar dan Kuala Kangsar yang dimenangi UMNO BN dengan majoriti yang sangat selesa.

Di Sungai Besar, Calon Amanah, Azhar Abdul Shukur berjaya memperoleh 7,609 undi, diikuti calon PAS, Dr. Abdul Rani Osman dengan 6,902 undi.

Calon UMNO BN, Budiman Mohd Zohdi memperolehi 16,800 undi, dan menang dengan majoriti 9,191 undi.

Di Kuala Kangsar, Calon Amanah, Prof Dr Ahmad Termizi Ramli memperoleh 4,883 undi dan hampir mengatasi calon PAS, Dr Najihatussalehah Ahmad (5,684). Calon BN, Datin Mastura Mohd Yazid memperolehi 12,653 undi dan menang dengan majoriti 6,969 undi.

“Pada PRU tahun 1995, pembangkang kalah teruk dan ia memakan masa bertahun-tahun untuk kembali.

“Pada tahun 2007 selepas tewas di Pilihanraya Kecil Machap dan Ijok, tiada yang menyangka bahawa setahun kemudian tsunami politik akan melanda pada 8 Mac 2008,” tambahnya lagi, memberi peringatan supaya tidak berputus asa. – Roketkini.com