Berita

DAP ucap takziah buat keluarga mendiang Jo Cox dan Parti Buruh UK

KUALA LUMPUR, 20 JUN: DAP merakamkan ucapan takziah buat Parti Buruh United Kingdom, setelah Ahli Parlimennya Jo Cox ditembak mati dalam tragedi menyayat hati minggu lalu.

Setiausaha Eksekutif Biro Antarabangsa DAP Syerleena Rashid, dalam kenyataan takziah terbabit, menyifatkan mendiang Cox sebagai seorang wanita yang telah berjaya membuktikan keupayaannya sebagai pemimpin yang telah memecahkan ‘siling kaca’ berkali-kali.

“DAP mengutuk keras individu yang telah membunuh Cox dan menggesa supaya keadilan ditegakkan bagi mereka yang terkesan, dan balasan setimpal undang-undang dikenakan ke atas si pelaku,” tegas Syerleena, sambil menyampaikan ucapan takziah dan simpati DAP kepada keluarga dan rakan taulan mendiang Cox.

Menurutnya lagi, kematian Cox wajar mengejutkan dunia supaya menyedari bahawa keganasan bukanlah penyelesaian masalah.

Mendiang Jo Cox, 41 tahun meninggal dunia di tempat kejadian setelah ditembak dan ditikam beberapa kali sebaik sahaja selesai mesyuarat di kawasannya, petang Khamis lalu.

Suspek yang ditahan polis, Tommy Mair berusia 52 tahun dipercayai melaungkan ‘Britain First’ slogan parti politik sayap kanan Britain, sebelum menyerang Cox. – Roketkini.com