Berita

Sempena Hari Pelarian Sedunia, DAP gesa bebaskan pelarian Rohingya dalam tahanan

KUALA LUMPUR, 20 JUN: Lebih 320 pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada penindasan di Myanmar yang terus ditahan di Malaysia selama lebih setahun wajar dibebaskan sempena Hari Pelarian Sedunia dan bertepatan dengan bulan Ramadan.

“Penyelesaian yang tuntas sewajarnya dibuat hari ini. Mereka bukan penjenayah, malah mereka juga mempunyai ahli keluarga seperti kita,” kata Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng yang menyatakan gesaan tersebut.

“Berikan mereka status pelarian sesuai dengan peruntukan undang-undang antarabangsa dan izinkan mereka tinggal di Malaysia atau berpindah ke mana-mana negara yang bersedia untuk menerima mereka,”

“Dalam bulan Ramadan yang mulia ini, berlaku adil lah kepada pelarian Islam Rohingya. Setiap hari mereka dikurung di Malaysia, setiap hari itu lah kita menanggung dosa,” ujar beliau yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan.

Menurutnya lagi sekiranya kerajaan sanggup menyewa jet untuk pergi membawa 3000 pelarian Syria masuk ke negara, keutamaan turut wajar diberikan kepada 320 pelarian Rohingya yang telah terkurung selama lebih setahun.

Dalam nada serupa Sosialis Muda DAP (DAPSY) turut menyatakan solidariti bersama para pelarian sempena Hari Pelarian Sedunia, hari ini.

Setiausaha Antarabangsa DAPSY Howard Lee dalam kenyataan berasingan merayu rakyat Malaysia untuk menandatangani petisyen #WithRefugees yang akan dikemukakan ke ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di New York September nanti.

Petisyen terbabit menggesa supaya setiap kanak-kanak pelarian dijamin hak pendidikan, keluarga pelarian dijamin tempat tinggal selamat, dan setiap pelarian diberi pekerjaan atau peluang mendapatkan kemahiran.

Petisyen tersebut boleh ditandatangani di laman http://www.unhcr.org/refugeeday/petition/

 

– Roketkini.com