Rencana

Isu bekalan air Johor: Dahulukan keperluan rakyat

Saya mengalu-alukan inisiatif pihak Kerajaan Persekutuan dalam menggubal undang-undang dalam mempertingkatkan usaha memelihara kawasan tadahan dan sumber air.

Pada masa yang sama saya juga menyeru pihak Kerajaan Persekutuan agar tidak melupakan satu lagi undang-undang yang berkait rapat dengan hal-ehwal pembekalan air yang masih dinantikan oleh seluruh rakyat Malaysia, iaitu Rang Undang-undang Air Minum Yang Selamat.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir. Haji Hamim bin Samuri telah memaklumkan Dewan Negara bahawa kerajaan akan membentangkan Rang Undang-undang Sumber Air Negara pada akhir tahun ini. Beliau berkata sedemikian apabila menjawab soalan tambahan daripada Ahli Dewan Negara, YB Tuan Haji Abdul Shukor bin P A Mohd Sultan semasa persidangan Dewan Negara pada 15 Jun yang lalu.

Beliau juga berkata bahawa draf rang undang-undang ini telah siap dan akan diteruskan dengan prosedur mengumpul maklum balas daripada setiap negeri.

Saya menjangka dan berharap undang-undang baru ini dapat memberikan suatu garis panduan yang jelas dalam menjalankan segala usaha melindungi dan memelihara kawasan tadahan air daripada dicerobohi atau musnah akibat aktiviti manusia.

Masalah pencerobohan haram dan kemusnahan kawasan tadahan air telah menghantui kita sekian lama sehingga menyebabkan banyak empangan di negara kita kehilangan fungsi untuk menyimpan air dan menyebabkan paras air di empangan-empangan tersebut mengalami kemerosotan secara drastik pada setiap kali musim kemarau.

Empangan Sembrong dan Empangan Macap di negeri Johor merupakan dua contoh empangan yang mengalami masalah pencerobohan yang serius. Hampir setiap tahun penduduk di sekitar daerah Kluang akan mengalami masalah gangguan bekalan air yang berpanjangan selama berbulan-bulan pada suku tahun kedua setiap tahun.

Walaupun pindaan Enakmen Air 1921 telah dibuat dan diluluskan dalam Persidangan Dewan Negeri Johor pada 9 Jun 2014 bagi memberi kuasa kepada kerajaan negeri dalam memelihara dan memulihara sumber air. Keberkesanan Penguatkuasaan Enakmen ini masih lemah dan diragui. Pindaan ini masih gagal memulihkan kawasan tadahan air di negeri Johor.

Kini, masalah gangguan bekalan air telah menjadi lebih serius melibatkan daerah-daerah lain seperti Johor Bahru, Kota Tinggi dan Mersing. Selama dua tahun berturut-turut bermula pada tahun 2015 dan tahun ini daerah-daerah ini dibelenggu masalah catuan air yang berpanjangan.

Oleh yang demikian, saya ingin mengingatkan pihak kerajaan bahawa tanpa penguatkuasaan yang serius, penggubalan undang-undang akan gagal memberi kesan dalam mencapai matlamat yang diingini.

Pada masa yang sama, saya juga ingin mengingatkan kerajaan bahawa selain sumber air, kualiti air terawat yang dibekalkan kepada para pengguna juga merupakan suatu isu yang penting dalam hal-ehwal pembekalan air.

Kerajaan haruslah mempercepatkan proses penggubalan Akta Air Minum Yang Selamat supaya kualiti air terawat yang dibekalkan kepada pengguna adalah sentiasa bersih dan selamat.

Walaupun pihak Kementerian Kesihatan Malaysia telah melaksanakan maklumbalas awam atas talian bagi Rang Undang-Undang Air Minum Yang Selamat pada hujung tahun 2013. Sehingga kini, Rang Undang-Undang ini masih belum dibentangkan untuk diluluskan di Parlimen.

Saya berharap kerajaan Barisan Nasional memberi fokus kepada isu yang berkait rapat dengan kehidupan seharian rakyat seperti isu pembekalan air dan isu-isu yang dapat meningkatkan kemakmuran negara.

Kerajaan BN haruslah menghentikan segala perbuatan yang bersifat sentimen perkauman yang hanya akan memecahbelahkan perpaduan masyarakat berbilang kaum di negara kita tetapi tidak memberikan sebarang manfaat kepada negara kita.

 

*Tan Hong Pin ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Mengkibol, Johor.